DOHA: Qatar Airways, syarikat penerbangan terbaik dunia seperti yang diundi oleh Skytrax 2024, telah memperkenalkan perkhidmatan daftar masuk, atau check in, di luar lapangan terbang di Makkah, memberikan penumpang jemaah haji dan umrah pengalaman perjalanan yang lancar dan tanpa kerumitan.
Dilancarkan dengan kerjasama Saudi Ground Services (SGS), perkhidmatan itu membolehkan penumpang melengkapkan formaliti daftar masuk, menerima pas masuk dan bagasi mereka diuruskan bagi memastikan perjalanan ke lapangan terbang yang lancar.
Berkuat kuasa 1 Mac 2025, penumpang Qatar Airways yang berlepas dari Jeddah boleh memanfaatkan perkhidmatan daftar masuk dari luar lapangan terbang yang disediakan di Clock Royal Tower, Makkah, sebuah Hotel Fairmont.
Terletak di pintu masuk hotel, perkhidmatan itu memperkemas proses daftar masuk, mengurangkan masa menunggu di lapangan terbang dan membolehkan jemaah haji menumpukan perhatian terhadap perjalanan rohani mereka dengan mudah dan selesa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qatar Airways, Encik Badr Mohammed Al Meer, berkata: “Di Qatar Airways, kami menyedari kepentingan mendalam ibadah haji serta umrah dan terus komited untuk meningkatkan pengalaman perjalanan untuk penumpang kami.
“Dengan memperkenalkan perkhidmatan daftar masuk di luar lapangan terbang di Makkah, dengan kerjasama Saudi Ground Services, kami memastikan jemaah haji boleh memulakan perjalanan mereka dengan mudah dan ketenangan fikiran.
“Inisiatif ini mencerminkan dedikasi kami untuk memberikan perkhidmatan bertaraf dunia yang disesuaikan dengan keperluan penumpang kami, mengesahkan komitmen kami terhadap penyelesaian perjalanan yang lancar dan inovatif.”
Ketua Pegawai Eksekutif SGS, Encik Mohammad Abdul Kareem Mazi, berkata: “Kami berbesar hati untuk terus mengembangkan penyelesaian inovatif haji dan umrah di luar lapangan terbang kami dengan kerjasama syarikat penerbangan rakan kongsi kami ini.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg