DOHA: Referendum Qatar melibatkan satu set pindaan perlembagaan diluluskan dengan 90.6 peratus undi menyokong, sekali gus menggantikan pilihan raya perundangan untuk Majlis Syura dengan peranan menerusi pelantikan, kata Menteri Dalam Negeri Qatar pada 5 November.
Qatar mengadakan pilihan raya pertamapada 2021 untuk memilih dua pertiga daripada anggota penasihat Majlis Syura.
Pilihan raya itu mencetuskan ketegangan selepas beberapa anggota suku Badwi mendapati diri mereka tidak layak untuk mengundi.
“Penduduk Qatar hari ini meraikan hasil daripada apa yang disemai oleh nenek moyang... dengan menyertai referendum umum mengenai draf pindaan perlembagaan kepada perlembagaan tetap negara,” kata Amir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani di X.
Pilihan raya perundangan pertama Qatar telah diluluskan dalam referendum perlembagaan 2003, tetapi tidak berlangsung sehingga 2021.
Majlis Syura mempunyai kuasa perundangan dan meluluskan dasar dan belanjawan, tetapi tidak mempunyai suara dalam penetapan dasar pertahanan, keselamatan, ekonomi dan pelaburan.
Parti politik diharamkan di negara pengeluar gas yang kecil tetapi kaya itu.
Pada 29 Oktober, Sheikh Tamim mengeluarkan dekri yang menyeru semua warga negaranya yang berumur 18 tahun ke atas supaya menyertai referendum itu.
Menurut laporan media sebelumnya, pindaan perlembagaan terbaru itu mengemas kini rangka kerja penetapan dasar dalam negeri dan luar negara Qatar, termasuk sama ada akan menamatkan pengundian terhadnya untuk kerusi perundangan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg