Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Qatar hulur AS$4.5j bagi pekerja, pesakit Gaza terperangkap di Tebing Barat

Sep 9, 2024 | 10:48 AM
Pemandangan di sepanjang pantai Deir Al-Balah, Gaza Tengah, lokasi ribuan khemah dan tempat perlindungan sementara didirikan untuk menampung penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal. Pada 6 September 2024, Datuk Bandar Deir Al-Balah mengumumkan bahawa lebih sejuta pelarian kini ditempatkan di lebih 200 kem pelarian di sekitar bandar tersebut.
Pemandangan di sepanjang pantai Deir Al-Balah, Gaza Tengah, lokasi ribuan khemah dan tempat perlindungan sementara didirikan untuk menampung penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal. Pada 6 September 2024, Datuk Bandar Deir Al-Balah mengumumkan bahawa lebih sejuta pelarian kini ditempatkan di lebih 200 kem pelarian di sekitar bandar tersebut. - Foto EPA-EFE

DOHA: Palang Merah Qatar dan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menandatangani satu perjanjian pada 8 September bagi menyalurkan bantuan kewangan berjumlah AS$4.5 juta ($5.86 juta) kepada lebih 4,400 pekerja dan pesakit Palestin dari Jaluran Gaza yang terperangkap di Tebing Barat.

Jaluran Gaza dan Tebing Barat adalah dua wilayah yang membentuk Palestin sekarang.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi Qatar, bantuan wang tunai itu akan menjadi sokongan penting kepada mereka yang terusir dari Gaza tetapi tidak dapat pulang sejak tercetusnya serangan Israel ke atas wilayah Palestin itu ada Oktober 2023.

Bantuan itu dijangka dapat meringankan beban hidup ribuan pelarian Palestin yang berada dalam keadaan terdesak, tanpa akses kepada keluarga dan sumber pendapatan.

Pesuruhjaya Agung UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, turut menegaskan situasi getir yang dihadapi pelarian Palestin dari Gaza.

“Beribu-ribu pelarian Palestin dari Gaza terperangkap di Tebing Barat dalam keadaan krisis ini, jauh daripada keluarga dan sumber rezeki mereka,” katanya.

Sejak Israel mula mengenakan sekatan ke atas Gaza pada 2007, pergerakan keluar masuk dari kawasan itu sangat terbatas.

Ia menyebabkan ramai penduduk Gaza yang memerlukan rawatan perubatan, pendidikan, atau peluang pekerjaan terpaksa menuju ke Tebing Barat.

Namun, keganasan yang semakin meningkat sering menyebabkan penutupan sempadan, sekali gus memerangkap mereka yang sangat memerlukan perkhidmatan asas seperti rawatan perubatan dan bantuan kemanusiaan.

Perjanjian antara Palang Merah Qatar dengan UNRWA itu sebahagian daripada usaha antarabangsa untuk membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa konflik berterusan di Gaza dan Tebing Barat.

Dengan bantuan kewangan itu, lebih ramai pekerja dan pesakit yang terperangkap akan menerima sokongan yang amat diperlukan, termasuk bantuan asas bagi kelangsungan hidup mereka.

Bantuan itu juga sebagai tanda perpaduan Qatar dengan rakyat Palestin, memperkukuh komitmen negara itu dalam membantu meringankan penderitaan masyarakat yang terkesan akibat konflik di rantau tersebut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg