Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Qatar tampil sebagai pengantara utama dalam usaha bebaskan tebusan

Oct 24, 2023 | 1:39 PM
PENGANTARA TERBAIK: Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani berbincang dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, di Doha baru-baru ini.
PENGANTARA TERBAIK: Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani berbincang dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, di Doha baru-baru ini. - Foto REUTERS

PARIS: Qatar yang mempunyai hubungan baik dengan negara-negara Barat dan Hamas, kini muncul sebagai kuasa utama dalam usaha membebaskan tebusan Israel yang ditawan kumpulan militan Palestin walaupun beberapa negara lain menunjukkan kesediaan untuk membantu.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, pada Jumaat memuji peranan penting yang dimainkan oleh Qatar dalam pembebasan dua tebusan Amerika Syarikat yang ditahan Hamas sejak serangannya terhadap Israel pada 7 Oktober.

Barat semakin menggunakan pengaruh negara Teluk yang kecil tetapi kaya dengan gas, pelabur global utama, dalam situasi sedemikian, dengan peranan Qatar dilihat penting dalam pembebasan lima rakyat Amerika yang ditahan oleh Iran bulan lalu.

Walaupun Mesir secara tradisinya dalam beberapa tahun kebelakangan ini menjadi pengantara utama antara Israel dengan kumpulan militan Palestin, namun Turkey di bawah Presiden Recep Tayyip Erdogan juga tidak merahsiakan hasratnya untuk terlibat, fokus kini kepada Qatar bagi membantu membebaskan tebusan dengan selamat.

“Pengantara yang paling bertolak ansur ialah Qatar,” kata Encik Hasni Abidi, pengarah Pusat Kajian dan Penyelidikan Dunia Arab dan Mediterranean yang berpangkalan di Geneva.

“Ia mengenali Hamas dengan baik dan merupakan penyokong kewangannya yang setia,” katanya, merujuk kepada pembiayaan Doha untuk gaji kakitangan awam di Jaluran Gaza yang dikendalikan Hamas.

Qatar, yang telah menjadi tuan rumah jawatan politik Hamas selama lebih 10 tahun, juga dihormati oleh Amerika Syarikat, sekutu utama Israel.

Israel berkata 203 orang termasuk pemegang dwi kewarganegaraan dan warga asing telah diculik oleh lelaki bersenjata Hamas apabila mereka melancarkan serangan paling dahsyat dalam sejarah 75 tahun Israel.

Tebusan Amerika, Cik Judith Tai Raanan, dan anak perempuannya Natalie Shoshana Raanan telah kembali ke Israel lewat Jumaat, kata pemerintah Israel.

“Ini adalah hasil yang sangat baik oleh perunding dengan Qatar memainkan peranan yang penting,” kata Encik Macron kepada sekumpulan wartawan pada Jumaat.

Beliau berkata Perancis mahu operasi serupa diteruskan bagi pembebasan tebusan, khususnya tebusan dari negaranya.

Qatar adalah “pakar dalam pembebasan tebusan”, kata Encik Etienne Dignat dari Universiti Sains Po di Paris dan pakar dalam situasi tebusan.

Negara tersebut juga memainkan peranan penting dalam isu dana Iran sebanyak AS$6 bilion ($8.24 bilion) yang dibekukan daripada bank Korea Selatan sementara menunggu pembebasan dalam perjanjian pertukaran tebusan lima warga Amerika yang ditahan oleh Iran. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg