Topic followed successfully
Go to BHkuRaja Charles akan lawat AS bagi ‘pulih’ hubungan dua hala
Raja Charles akan lawat AS bagi ‘pulih’ hubungan dua hala
Raja Charles akan lawat AS bagi ‘pulih’ hubungan dua hala
LONDON: Raja Charles III dijadualkan berlepas ke Amerika Syarikat pada 27 April.
Namun, lawatan bersejarah itu terancam dicemari oleh bayangan panjang skandal Epstein dan ketegangan transatlantik yang memuncak berhubung perang di Iran.
Istana Buckingham dan kerajaan Britain sepakat menyatakan bahawa lawatan empat hari itu bertujuan menghormati hubungan bersejarah antara kedua-dua negara, sempena sambutan 250 tahun kemerdekaan Amerika.
Ini adalah lawatan kenegaraan pertama Raja Charles ke Amerika sebagai raja. Ia dilakukan atas permintaan kerajaan Britain dan Presiden Donald Trump, serta akan diiringi Ratu Camilla, jelas pihak istana.
Namun, di kala pemimpin Amerika itu meneruskan perangnya dengan Iran, jurang jarang berlaku antara London dan Washington tercetus, lantas menimbulkan kontroversi yang ketara.
Encik Trump berulang kali menyerang Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, kerana menentang perang, selain mengkritik dasar imigresen dan tenaga kerajaannya.
“Ini bukan Winston Churchill yang kita hadapi,” keluh Encik Trump pada Mac, sambil menambah bahawa apa yang digelar hubungan istimewa itu “tidak sama seperti dahulu lagi”.
Pemimpin Amerika itu turut mengejek keadaan angkatan tentera Britain yang dianggap lemah, di mana Raja adalah panglima tertingginya.
Sebagai tindak balas, Encik Starmer meningkatkan kritikan awamnya terhadap perang, sambil mempertahankan lawatan kenegaraan itu dengan menekankan keutuhan dan kedalaman hubungan Britain-Amerika.
“Apa yang monarki mampu lakukan, melalui ikatan yang mereka bina, adalah menjangkau merentasi dekad dalam situasi seperti ini,” kata Encik Starmer kepada anggota parlimen apabila ditanya mengapa lawatan itu diteruskan.
Encik Trump memberitahu penyiar awam Britain, BBC, pada 23 April bahawa lawatan itu “sudah tentu” dapat membantu memulihkan hubungan, sambil memuji Raja sebagai “luar biasa”.
Duta Britain yang baru dilantik ke Amerika, Encik Christian Turner, menyifatkan lawatan kenegaraan itu “penting” bagi hubungan kedua-dua negara.
Hubungan antara Raja dengan Presiden adalah “sangat peribadi, penuh kasih sayang, dan rasa hormat yang mendalam,” ujar Encik Turner kepada NBC News.
Raja Charles, yang kini berusia 77 tahun, telah membuktikan kemahirannya dalam diplomasi semasa lawatan kenegaraan Encik Trump ke Britain pada September 2025.
Pakar monarki dari Royal Holloway University of London, Dr Craig Prescott, menyatakan Raja “umumnya sangat baik” dalam mengendalikan majlis sebegitu.
Dr Prescott menambah, sambutan ulang tahun kemerdekaan itu memberi peluang kepada pihak Britain untuk menegaskan bahawa lawatan tersebut “bukan semata-mata tentang Keir Starmer dan Donald Trump”.
Namun, beliau mengakui bahawa lawatan kali ini “lebih berorientasikan politik” berbanding kebiasaan, dan Raja Charles berkemungkinan akan menyentuh isu-isu sensitif itu secara halus dalam ucapannya kepada Kongres Amerika.
Raja Charles adalah raja British pertama yang berucap di Kongres sejak bondanya, mendiang Ratu Elizabeth II, melakukannya pada tahun 1991. - Agensi berita

