Trump akan bertemu Xi pada Mei selepas lawatan ke China tertangguh akibat perang
Trump akan bertemu Xi pada Mei selepas lawatan ke China tertangguh akibat perang
Trump akan bertemu Xi pada Mei selepas lawatan ke China tertangguh akibat perang
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau akan bertemu rakan sejawatannya daripada China, Xi Jinping, di Beijing pada Mei selepas menangguhkan sidang puncak sebelumnya kerana perang menentang Iran.
Encik Trump berkata beliau amat menantikan lawatan penting itu, yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada akhir Mac, dan akan menjadi tuan rumah kepada Xi dan isterinya di Washington akhir tahun ini.
“Pertemuan saya dengan Presiden Xi Jinping, yang ditangguhkan kerana operasi ketenteraan kami di Iran, telah dijadualkan semula, dan akan berlangsung di Beijing pada 14 dan 15 Mei,” kata beliau dalam laman Truth Social beliau.
Menurutnya, pegawai Amerika dan China sedang “memuktamadkan persediaan” untuk lawatan “bersejarah” ke Beijing dan Washington itu.
“Saya sangat ternanti-nanti untuk meluangkan masa bersama Presiden Xi dalam apa yang akan menjadi acara bersejarah,” tambahnya.
Rumah Putih telah mengumumkan tarikh baru itu sejurus sebelum catatan media sosial Encik Trump.
Beliau dijadualkan berkunjung ke Beijing antara 31 Mac dan April buat kali pertama dalam penggal keduanya, untuk sidang puncak yang bertujuan untuk menetapkan semula hubungan dagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
Presiden China dan Amerika pernah bertemu di Korea Selatan pada Oktober di luar sidang puncak serantau, dan bersetuju untuk gencatan senjata dalam perang dagangan yang dicetuskan oleh tarif global Encik Trump yang meluas.
Beliau berkata pada 16 Mac bahawa beliau telah meminta China untuk menangguhkan mesyuarat itu sementara beliau menangani perang di Timur Tengah.
Rumah Putih masih ragu-ragu sama ada penjadualan semula lawatan itu bermakna Encik Trump menjangkakan perang dengan Iran, salah satu sekutu geopolitik terdekat China, akan berakhir pada masa itu.
“Kami sentiasa menganggarkan empat hingga enam minggu (untuk tempoh operasi ketenteraan menentang Iran), jadi anda boleh mengiranya,” tambah Setiausaha Akhbar Cik Karoline Leavitt.
“Presiden Xi faham bahawa sangat penting bagi presiden untuk berada di sini sepanjang operasi pertempuran ini sekarang. Beliau jelas memahami permintaan untuk menangguhkan dan menerimanya,” tambahnya.
Tetapi penganalisis berpendapat China akan berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk mendapatkan konsesi daripada Encik Trump kelak.
Keputusannya bulan lalu untuk menyertai Israel dalam serangan ke atas Iran telah menjerumuskan Timur Tengah ke dalam kancah perang, menimbulkan kebimbangan tentang kekurangan bekalan global disebabkan oleh penutupan Selat Hormuz oleh Iran. - Agensi berita

