AMMAN: Raja Jordan Abdullah II telah menggesa Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, supaya mendesak gencatan senjata di Gaza dan menamatkan krisis kemanusiaan di wilayah Palestin yang terkepung, ketika perang masuk bulan ketiga tanpa tanda akan berhenti.
Raja Abdullah, yang bertemu Encik Blinken di ibu negara Jordan, Amman, pada 7 Januari, juga memberi amaran tentang “akibat malapetaka” perang, kata istana diraja.
Sekurang-kurangnya 22,800 orang telah terbunuh – termasuk 9,600 kanak-kanak – dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober, menurut pegawai Palestin.
Tindakan Israel itu sebagai membalas serangan Hamas di selatan Israel yang membunuh sekitar 1,200 orang dan menahan 240 tebusan.
Raja Abdullah mengulangi “peranan penting Amerika dalam meningkatkan tekanan untuk gencatan senjata segera di Gaza, perlindungan orang awam serta menjamin penghantaran” bantuan perubatan dan kemanusiaan, kata istana diraja lagi.
Encik Blinken, yang memulakan lawatan selama seminggu merentasi Timur Tengah pada 5 Januari yang bertujuan untuk meredakan ketegangan di rantau itu dan memastikan perang tidak merebak, tiba di Jordan selepas melawat Turkey dan Greece.
Beliau menyatakan bahawa terdapat “kebimbangan sebenar” terhadap ketegangan di sempadan Israel dengan Lebanon.
“Kami mahu melakukan segala yang mungkin untuk memastikan bahawa kami tidak melihat peningkatan di sana” dan untuk mengelakkan “kitaran keganasan yang tidak berkesudahan”, ujar beliau.
Selepas melawat Jordan, Encik Blinken akan melakukan lawatan ke Arab Saudi, Mesir, Qatar, Amiriah Arab Bersatu, Israel dan Tebing Barat yang diduduki Israel.
Beliau juga berharap untuk membuat kemajuan dalam perbincangan tentang bagaimana Gaza boleh ditadbir selepas perang.
Terdahulu pada 7 Januari, Encik Blinken bertemu Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, untuk membincangkan senario masa depan yang akan membawa Tebing Barat dan Gaza bersama-sama sebagai asas penyelesaian dua negara untuk Israel dan Palestin, menurut kenyataan Kementerian Luar Jordan.
Jordan menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1994 dan Raja Abdullah menegaskan semula keperluan untuk penyelesaian dua negara bagi isu Israel-Palestin dan menggariskan “penolakan sepenuhnya” Jordan terhadap sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin dari Gaza dan Tebing Barat yang diduduki Israel.
Washington juga mendesak penyelesaian dua negara, sesuatu yang ditolak oleh Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dengan beberapa anggota Kabinetnya juga telah menyeru penduduk Palestin di Gaza berhijrah ke negara lain. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg