Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump mahu Amerika beli, miliki Gaza

Mungkin benarkan beberapa bahagian wilayah Palestin dibangun semula oleh negara lain di Timur Tengah
Feb 10, 2025 | 11:34 AM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi tabik hormat ketika lagu kebangsaan Amerika dimainkan sebelum permulaan perlawanan Super Bowl LIX antara Kansas City Chiefs dengan Philadelphia Eagles di Caesars Superdome, New Orleans, Louisiana, pada 9 Februari. 
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi tabik hormat ketika lagu kebangsaan Amerika dimainkan sebelum permulaan perlawanan Super Bowl LIX antara Kansas City Chiefs dengan Philadelphia Eagles di Caesars Superdome, New Orleans, Louisiana, pada 9 Februari.  - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau komited untuk membeli dan memiliki Jaluran Gaza, tetapi mungkin membenarkan beberapa bahagian wilayah Palestin itu dibangunkan semula oleh negara lain di Timur Tengah.

“Saya komited untuk membeli dan memiliki Gaza. Mengenai pembangunannya, kami mungkin menyerahkan kepada negara lain di Timur Tengah, untuk membina bahagian tertentu, orang lain mungkin melakukannya, melalui izin kami.

“Tetapi kami komited untuk memilikinya, mengambil alih, dan memastikan Hamas tidak kembali,” kata Encik Trump kepada wartawan di dalam pesawat presiden, Air Force One, dalam perjalanannya ke New Orleans bagi menghadiri kejohanan Super Bowl.

Encik Trump juga berkata beliau terbuka kepada kemungkinan membenarkan beberapa pelarian Palestin memasuki Amerika, tetapi akan mempertimbangkan permintaan tersebut berdasarkan setiap kes.

Encik Trump turut menyatakan bahawa Gaza kini tidak mempunyai apa-apa untuk dihuni.

“Tempat itu adalah tapak pemusnahan. Apa yang tinggal akan dimusnahkan. Semuanya telah musnah,” tambahnya.

Kenyataan Encik Trump itu menerima kecaman keras daripada Hamas.

Dalam satu kenyataan rasmi, seorang ahli biro politik Hamas, Encik Ezzat El Rashq, menyifatkan kenyataan Encik Trump itu sebagai tidak masuk akal dan melanggar hak Palestin.

“Gaza bukan harta yang boleh dijual beli. Ia bahagian penting daripada tanah Palestin yang dijajah,” dan rakyat Palestin akan menggagalkan sebarang rancangan untuk memindahkan mereka, tegas Encik El Rashq.

Encik Trump sebelum ini bercakap tentang memindahkan penduduk Palestin yang tinggal di Gaza secara kekal dan akan mewujudkan sebuah “Pinggir Pantai Timur Tengah”.

Selama lebih setahun Gaza menjadi sasaran pengeboman Israel dalam serangan balasnya yang dahsyat ke atas Hamas, selepas kumpulan Palestin yang mentadbir wilayah tersebut, menyerang Israel pada Oktober 2023.

Serangan itu membawa kemusnahan teruk ke atas wilayah tersebut.

Bagaimanapun, tidak jelas di bawah kuasa apa Amerika boleh menuntut hak milik ke atas Gaza.

Kenyataan Encik Trump menerima tentangan serta-merta daripada beberapa negara, termasuk Arab Saudi, yang menolak sepenuhnya cadangan tersebut.

Sementara itu, Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, berkata pada 9 Februari bahawa Encik Trump dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah el-Sisi, dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, walaupun tarikh pertemuan tersebut belum diumumkan.

Encik Herzog turut berkata Encik Trump akan bertemu Raja Jordan, Raja Abdullah, dalam beberapa hari ini.

Menurut laporan agensi berita Jordan, pertemuan itu dijangka berlangsung pada 11 Februari di Washington.

“Presiden Trump dijangka berbincang dengan pemimpin Arab utama, termasuk Raja Jordan, Presiden Mesir, dan Putera Mahkota Arab Saudi. Mereka rakan kongsi penting yang pandangan mereka perlu didengari,” kata Encik Herzog.

Satu laporan Reuters mengatakan Raja Abdullah merancang memberitahu Encik Trump bahawa saranan tersebut itu adalah resepi ekstremisme yang akan menyebarkan kekacauan di Timur Tengah dan mengancam kedamaian Jordan dengan Israel.

Selain Arab Saudi, ramai pemimpin dunia turut menolak usulan Encik Trump untuk mengambil alih Gaza. Sebuah kenyataan daripada Pejabat Raja Jordan menyifatkan cadangan itu tidak praktikal dan hanya akan memperburuk keadaan di Timur Tengah.

Hamas pula menegaskan mereka akan terus mempertahankan hak rakyat Palestin. “Kami tidak akan membenarkan sebarang rancangan yang cuba menghapuskan identiti Palestin di Gaza,” ujar Encik El Rashq. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg