AMMAN: Raja Abdullah bagi Jordan menolak sebarang rancangan Israel untuk menduduki bahagian Gaza, atau mewujudkan zon keselamatan di dalam wilayah itu.
Beliau berkata punca krisis itu ialah penafian Israel terhadap “hak sah rakyat Palestin,” lapor media rasmi pemerintah Jordan pada Isnin.
Dalam ulasan yang dibuat di istana beliau, Raja Jordan itu dipetik sebagai memberitahu ahli politik kanan bahawa “tiada penyelesaian ketenteraan atau keselamatan” untuk konflik antara Israel dan Palestin.
Beliau berkata kawasan Gaza yang dilanda peperangan tidak seharusnya dipisahkan oleh Israel daripada Wilayah Palestin yang lain.
Raja Abdullah memberitahu ahli politik bahawa “punca krisis adalah pendudukan Israel di wilayah Palestin dan penafian hak sah rakyat Palestin”.
“Penyelesaian bermula dari situ, dan mana-mana jalan lain akan menemui kegagalan dan lebih kepada kitaran keganasan dan kemusnahan,” katanya.
Raja Abdullah berkata beliau telah lama memberi amaran tentang pencabulan Israel di Tebing Barat, di mana Jordan berkongsi sempadan, dan serangan peneroka Yahudi ke atas orang awam Palestin boleh “mengembangkan konflik dan mendorong wilayah itu ke jurang kehancuran”.
Jordan adalah rumah kepada sebilangan besar penduduk pelarian Palestin dan keturunan mereka, yang khuatir Israel boleh mengusir rakyat Palestin secara beramai-ramai dari Tebing Barat yang didudukinya.
Serangan Israel terhadap penduduk Palestin juga telah meningkat sejak serangan 7 Oktober oleh kumpulan Hamas ke atas selatan Israel.
Israel tanpa henti menggempur wilayah Palestin yang padat dengan penduduk, dan menghantar tentera dalam misi untuk memusnahkan Hamas, mencetuskan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Raja Abdullah berkata satu-satunya jalan menuju keamanan yang kekal ialah dengan mengadakan rundingan semula mengenai negara Palestin yang merdeka bersama Israel.
Rundingan yang diatur oleh Amerika Syarikat ke arah “penyelesaian dua negara” bagi kemerdekaan Palestin di wilayah yang diduduki Israel, telah dibekukan selama hampir sedekad.
Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz, berkata pada Ahad bahawa beliau menentang gencatan senjata “segera” di Jaluran Gaza.
“Saya tidak fikir seruan untuk gencatan senjata segera atau rehat yang lama – atau yang seumpama itu – adalah betul,” kata Encik Scholz dalam perbahasan yang dianjurkan oleh akhbar harian serantau Jerman, Heilbronner Stimme. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg