BANGKOK: Cik Paetongtarn Shinawatra disahkan sebagai Perdana Menteri oleh Raja Thailand pada 18 Ogos, dua hari selepas Parlimen memilihnya, membuka jalan untuknya membentuk Kabinet dalam beberapa minggu akan datang.
Cik Paetongtarn, 37 tahun, menjadi Perdana Menteri termuda Thailand, hanya beberapa hari selepas sekutunya, Encik Srettha Thavisin, dipecat sebagai Perdana Menteri oleh Mahkamah Perlembagaan, sebuah badan kehakiman yang menjadi pusat kepada pergolakan politik Thailand selama dua dekad.
Anak perempuan mantan Perdana Menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, Cik Paetongtarn menang hampir dua pertiga dalam undian Parlimen pada 16 Ogos, untuk menjadi Perdana Menteri wanita kedua Thailand dan anggota keluarga Shinawatra ketiga yang memegang kuasa, selepas Encik Thaksin dan ibu saudaranya Cik Yingluck Shinawatra.
Pengesahan oleh Raja Maha Vajiralongkorn, satu formaliti, dibacakan oleh Setiausaha Dewan Perwakilan Rakyat, Encik Apat Sukhanand, pada satu majlis di Bangkok pada 18 Ogos.
Dengan berpakaian seragam rasmi, Cik Paetongtarn berlutut dan memberi penghormatan kepada potret Raja Vajiralongkorn, sebelum memberi ucapan ringkas mengucapkan terima kasih kepada raja dan wakil-wakil rakyat kerana menyokong beliau sebagai perdana menteri.
“Sebagai ketua cabang eksekutif, saya akan menjalankan tugas saya bersama-sama penggubal undang-undang dengan hati terbuka,” katanya.
“Saya akan mendengar semua pendapat, supaya bersama-sama, kita boleh membawa negara ini ke hadapan dengan kestabilan,” tambah beliau.
Cik Paetongtarn, yang tidak pernah berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini, akan menghadapi cabaran dalam pelbagai bidang, dengan ekonomi yang kian meruncing.
Populariti Parti Pheu Thai juga semakin berkurangan, gara-gara masih belum menyampaikan program pemberian tunai dompet digital perdana, bernilai 500 bilion baht ($19 bilion).
Dalam sidang akhbar pertamanya, beliau berkata akan meneruskan semua dasar pendahulunya, Encik Srettha, termasuk rangsangan dan pembaharuan ekonomi “utama”, menangani dadah haram dan menambah baik sistem penjagaan kesihatan negara. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg