Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakaman dron papar kemusnahan Gaza

Nov 28, 2023 | 12:46 PM
PADANG JARAK PADANG TERKUKUR: Runtuhan bangunan yang musnah akibat pengeboman tentera Israel di selatan Bandar Gaza semasa konflik di tengah-tengah gencatan senjata sementara antara Israel dan Hamas.
PADANG JARAK PADANG TERKUKUR: Runtuhan bangunan yang musnah akibat pengeboman tentera Israel di selatan Bandar Gaza semasa konflik di tengah-tengah gencatan senjata sementara antara Israel dan Hamas. - Foto REUTERS

GAZA: Rakaman dron oleh Reuters di Gaza sebelum dan selepas permulaan serangan Israel ke atas wilayah Palestin itu menunjukkan kawasan bandar yang sibuk, dengan kanak-kanak bermain dan orang ramai sibuk melakukan kerja harian mereka – kini seperti padang jarak, padang tekukur.

Pemandangan sedemikian menimbulkan aura menyedihkan dengan bangunan-bangunan remuk, berkecai dan ada yang masih berasap.

Gambar-gambar yang dirakam sebelum 7 Oktober menunjukkan sekolah, masjid dan gereja, serta kubu Islam Barquq peninggalan abad ke-14 berdiri megah di Gaza.

Ketika itu, Gaza penuh dengan kegiatan – orang ramai berjalan di jalan raya atau memandu di sepanjang jalan yang dibarisi pokok, kanak-kanak pergi ke sekolah menaiki kereta keldai dan pengunjung berseronok di taman air.

Gaza, yang terletak di sepanjang pantai Mediterranean, telah lama berada di bawah sekatan Israel dan Mesir yang telah menyekat pergerakan rakyat Palestin.

Diperintah oleh pergerakan Hamas, ia adalah salah satu tempat yang paling padat dengan penduduk dan telah dibelenggu masalah ekonomi selama bertahun-tahun.

Di sebalik kemusnahan dan penderitaaan, kehidupan tetap diteruskan di Gaza.

Beberapa rakaman menunjukkan kem pelarian Beach dengan blok-blok rumah yang padat dan jemuran tergantung di luar.

Di kem pelarian Nusseirat, kanak-kanak menikmati tarian di jalanan.

Namun, rakaman dron selepas kem pelarian itu dibom, menunjukkan kemusnahan besar dengan kawah berasap dan bangunan menyembah bumi.

Israel melancarkan serangan berlarutan selepas Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober lalu, membunuh kira-kira 1,200 orang dan 240 tawanan dijadikan tebusan.

Beberapa minggu pengeboman Israel dari darat, laut dan udara di utara Gaza telah membunuh hampir 15,000 orang dan mewujudkan krisis kemanusiaan di wilayah itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg