BEIJING: Beberapa rakan dagang utama Amerika Syarikat di Asia membantah cadangan tarif terbaru Presiden Donald Trump, dengan sebahagiannya berusaha mempercepat rundingan perdagangan bagi melindungi kepentingan ekonomi masing-masing.

China, Jepun dan India menolak dakwaan Washington bahawa pengeluaran industri berlebihan di negara mereka menjejaskan sektor perkilangan Amerika.

Korea Selatan pula menyatakan akan mengadakan rundingan lanjut dengan Washington, manakala Vietnam mahu segera memuktamadkan perjanjian perdagangan dan Taiwan yakin kadar tarif 15 peratus yang dipersetujui sebelum ini akan dikekalkan.

Reaksi pada 26 November itu menyusuli pengumuman pentadbiran Trump mengenai cadangan tarif baru ke atas 14 rakan dagang utama, termasuk beberapa ekonomi dan pusat perkilangan terbesar di Asia.

Pejabat Wakil Perdagangan Amerika (USTR) mencadangkan kadar tarif antara 20 dengan 40 peratus bagi menangani masalah pengeluaran industri berlebihan dan amalan perdagangan yang didakwa menjejaskan persaingan pasaran serta sektor perkilangan Amerika.

Bagaimanapun, kadar sebenar mungkin lebih rendah, tertakluk pada perjanjian perdagangan yang telah dimeterai atau masih dirundingkan dengan Washington.

Wakil Perdagangan Amerika, Encik Jamieson Greer, berkata tarif tersebut hanya akan berkuat kuasa selepas sesi pendengaran awam pada 25 Januari 2027.

China menolak dakwaan Washington bahawa negara itu menjadi punca pengeluaran industri berlebihan, namun tidak mengancam untuk mengambil tindakan balas.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Isu yang disebut sebagai ‘pengeluaran industri berlebihan’ sebenarnya tidak wujud dan tidak seharusnya dijadikan alasan bagi manipulasi politik,” kata jurucakap Kedutaan China di Washington.

Jurucakap itu menggesa kedua-dua pihak melaksanakan persetujuan yang dicapai antara Encik Trump dengan Presiden China, Encik Xi Jinping.

China berdepan tarif baru sebanyak 20 peratus, sebagai tambahan kepada tarif sekitar 25 peratus yang dikenakan semasa penggal pertama Encik Trump.

Namun, kadar tarif baru itu boleh meningkat sehingga 40 peratus sekiranya gencatan perdagangan antara Washington dengan Beijing, yang tamat pada 10 Januari 2027, gagal diteruskan.

Jepun turut menyifatkan cadangan tarif Washington sebagai mengecewakan dan menolak dakwaan bahawa negara itu mempunyai masalah pengeluaran industri berlebihan.

“Jepun tidak mengamalkan dasar yang mengganggu persaingan pasaran atau mempunyai masalah pengeluaran berlebihan yang bersifat struktur,” kata jurucakap utama pemerintah Jepun, Encik Minoru Kihara.

Vietnam pula sedang berusaha memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan Amerika, selain berikrar menangani risiko pengeluaran berlebihan dan memperketat peraturan berkaitan buruh paksa.

Hanoi turut berjanji membanteras kegiatan mengelak tarif secara haram, penghantaran semula barangan melalui negara ketiga dan pemalsuan maklumat mengenai negara asal produk.

Amerika merupakan pasaran eksport terbesar Vietnam, namun kedua-dua negara masih belum memuktamadkan rundingan perdagangan mereka.

Di bawah cadangan terbaru Washington, barangan Vietnam akan dikenakan tarif maksimum 20 peratus sekiranya perjanjian dicapai. Kadar itu boleh meningkat sehingga 35 peratus jika rundingan gagal.

India pula menegaskan bahawa negara itu tidak mempunyai masalah pengeluaran berlebihan yang bersifat struktur dalam mana-mana sektor.

New Delhi berpandangan bahawa sebarang pertikaian perdagangan seharusnya ditangani menerusi rundingan dua hala yang sedang berlangsung.

Barangan India berdepan tarif sehingga 25 peratus, namun kadar itu boleh dihadkan kepada 17 peratus sekiranya kedua-dua pihak mencapai perjanjian perdagangan.

Washington sebelum ini membangkitkan kebimbangan mengenai dasar peluasan industri India, perlindungan pekerja yang tidak mencukupi dan sekatan akses pasaran yang didakwa menjejaskan pengeluar Amerika.

Taiwan yakin Washington akan mengekalkan kadar tarif 15 peratus yang dipersetujui sebelum ini.

Kedua-dua pihak telah menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama pelaburan pada Januari dan perjanjian perdagangan timbal balik pada Februari.

Perjanjian itu menjamin layanan istimewa bagi semikonduktor dan produk teknologi lain, yang membentuk lebih 70 peratus eksport Taiwan ke Amerika.

Timbalan Perdana Menteri Taiwan, Cik Cheng Li-chiun, berkata matlamat utama Washington adalah untuk membina semula asas undang-undang bagi dasar tarif timbal baliknya, bukan mengubah kandungan perjanjian sedia ada.

Taiwan merupakan pangkalan Syarikat Pengeluar Semikonduktor Taiwan (TSMC), pengeluar cip kontrak terbesar dunia, yang melabur AS$265 bilion bagi membina kilang baru di Amerika.

Di bawah perjanjian Januari itu, syarikat Taiwan juga akan melabur AS$250 bilion ($341 bilion) dalam sektor semikonduktor, tenaga dan kecerdasan buatan (AI) di Amerika.

Korea Selatan akan mengadakan rundingan lanjut dengan Washington bagi melindungi kepentingan nasionalnya, sambil menegaskan sektor perkilangannya merupakan bahagian penting dalam rantaian bekalan Amerika.

USTR mencadangkan kadar tarif maksimum 15 peratus bagi barangan Korea Selatan, namun kadar itu boleh meningkat sehingga 25 peratus, bergantung pada hasil rundingan dan pelaksanaan perjanjian sedia ada.

Seoul dan Washington mencapai perjanjian perdagangan pada 2025 untuk mengurangkan tarif sebagai pertukaran bagi pakej pelaburan bernilai AS$350 bilion.

Sementara itu, Thailand menyatakan cadangan tarif sehingga 18 peratus ke atas barangannya selaras dengan hasil rundingan terdahulu bersama Washington.

Kementerian Perdagangan Thailand berkata: “Kadar tarif yang dicadangkan itu akan membantu produk Thailand kekal berdaya saing di Amerika Syarikat, pasaran eksport terbesar Thailand.”

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti