KAHIRAH: Hilang gelap timbul terang dan tiada apa yang lebih mengembirakan rakyat Palestin selain mendengar berita gencatan senjata antara Israel dan Hamas akhirnya menjadi kenyataan.
Mereka bersiul, bertepuk tangan bersorak surai sambil melaungkan “Allahuakbar” dalam suasana memecah kepiluan selama perang berlangsung selama 15 bulan.
“Saya sangat gembira, ya, saya menangis, tetapi itu adalah air mata kegembiraan,” kata Cik Ghada (tiada nama penuh), ibu kepada lima anak yang hidup berpindah randah selepas melarikan diri daripada rumahnya di Bandar Gaza sejak perang meletus pada Oktober 2023.
“Kami bak dilahirkan semula dan saya harap semuanya akan berakhir sekarang,” katanya menerusi aplikasi sembang dari pusat perlindungan di bandar Deir Al-Balah di tengah Gaza.
Golongan belia memukul rebana, meniup trompet dan menari di jalan raya di Khan Younis, selatan Gaza, beberapa minit selepas mendengar berita perjanjian itu dimuktamadkan di Doha, ibu negara Qatar.
Perjanjian itu, yang belum diumumkan secara rasmi, menggariskan fasa gencatan senjata awal selama enam minggu dan termasuk pengunduran tentera Israel secara beransur-ansur dari Gaza.
Perjanjian itu juga memperuntukkan pembebasan tebusan Israel yang ditahan oleh Hamas sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin di penjara Israel, kata seorang pegawai yang diberi taklimat mengenai rundingan itu.
Namun, berita perjanjian itu tidak membawa kegembiraan kepada semua rakyat Palestin.
Ramai daripada mereka masih meratap sedih atas kehilangan anggota dalam perang di Gaza.
Encik Ahmed Dahman, 25 tahun, berkata perkara pertama yang akan dilakukannya apabila perjanjian itu berkuat kuasa adalah untuk mendapatkan semula mayat bapanya, yang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas rumah keluarga itu pada 2024.
“Saya mahu memberinya pengebumian yang sewajarnya. Saya sedih bercampur gembira kerana nyawa diselamatkan dan pertumpahan darah dihentikan,” kata Encik Dahman, yang juga telah melarikan diri daripada Bandar Gaza dan kini berlindung di Deir al-Balah.
Ibunya, Cik Bushra, berkata walaupun gencatan senjata tidak akan mengembalikan suaminya, “sekurang-kurangnya ia boleh menyelamatkan nyawa orang lain”. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg