GAZA/TEL AVIV: Rakyat Palestin dan Israel yakin dan penuh berharap perjanjian gencatan senjata di Jaluran Gaza dan pembebasan tebusan dimuktamadkan selepas 15 bulan dicengkam perang yang dahsyat.
“Saya tidak percaya bahawa saya masih hidup untuk menyaksikan detik ini.
“Kami telah menunggu ini dengan berdebar-debar sejak bulan pertama tahun lalu (2024),” kata Cik Sanabel, 17 tahun, dalam nota suara yang dihantar dari Bandar Gaza.
Cik Sanabel, yang tinggal bersama keluarganya di rumah mereka yang sebahagiannya musnah, memberitahu program BBC bahawa semua penduduk di utara Gaza “berasa gembira, ceria dan optimis kerana bakal dapat berjumpa semula kawan baik dan keluarga mereka yang dipindahkan ke selatan Gaza.
“Saya mahu gencatan senjata selama-lamanya,” tambahnya dengan nada ceria.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar berkata pada 14 Januari bahawa tiada isu besar yang menyekat perjanjian antara Israel dengan Hamas dan bahawa perbincangan tidak langsung di Doha kini tertumpu kepada “butiran akhir mencapai persetujuan”.
Seorang pegawai pemerintah Israel berkata rundingan itu telah mencapai “kemajuan sebenar” dan memasuki tempoh kritikal dan sensitif, manakala Hamas berkata ia berpuas hati dengan status rundingan itu.
Saudara-mara tebusan Israel yang ditahan di Gaza sejak Oktober 2023 juga telah bercakap kepada BBC tentang berita bahawa perjanjian gencatan senjata mungkin dicapai akhirnya.
Artis dan pembuat filem Britain-Israel, Sharon Lifshitz, berkata beliau tidak menerima sebarang berita tentang bapanya, Encik Oded, 84 tahun, sejak wanita yang ditahan bersamanya dibebaskan semasa gencatan senjata selama seminggu pada November 2023.
“Kami tahu akan ada begitu banyak kesedihan. Kami tahu agak ramai tebusan tidak bernyawa lagi. Kami harap mereka yang masih hidup dibebaskan agar mereka boleh kembali ke pangkuan keluarga masing-masing,” tambahnya.
Beliau berkata bahawa ibunya, Cik Yocheved – yang juga diculik dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 tetapi dibebaskan beberapa minggu kemudian – ragu tentang peluang perjanjian tetapi “saya dapat rasakan sedikit keyakinan dalam dirinya”. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg