Rakyat Iran hidup dalam ketidakpastian menanti ancaman perang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat Iran hidup dalam ketidakpastian menanti ancaman perang

Feb 25, 2026 | 5:25 PM

Rakyat Iran hidup dalam ketidakpastian menanti ancaman perang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
rakyat iran, ketidakpastian, ancaman perang
Orang ramai berjalan melepasi gerai penjaja jalanan dengan papan iklan anti-Amerika Syarikat kelihatan di latar belakang di Dataran Enqelab, Tehran, pada 17 Februari 2026. - Foto AFP

TEHERAN: Pada zahirnya, kehidupan di Iran kelihatan berjalan seperti biasa. Kedai runcit penuh bekalan, sekolah dan pejabat kekal dibuka, dan jalan raya masih sesak dengan rutin harian warga kota. Namun di sebalik ketenangan itu, jutaan rakyat hidup dalam kegelisahan, menunggu sama ada Amerika Syarikat akan melancarkan serangan atau rundingan diplomatik mampu mengelakkan perang.

Selama beberapa hari, nasib hampir 90 juta rakyat Iran seolah-olah berayun antara damai dan konflik apabila kedua-dua pihak saling bertukar ancaman dan seruan perundingan. Rundingan tidak langsung di Geneva yang dijadualkan berlangsung pada 26 Februari dilihat sebagai peluang terakhir untuk meredakan ketegangan.

Sebahagian rakyat mengambil langkah berjaga jaga. Ada yang menyediakan beg kecemasan, membeli penjana elektrik tambahan dan merancang melarikan diri ke kawasan luar bandar atau meninggalkan negara. Namun ramai juga memilih untuk menunggu tanpa kepastian.

Seorang ahli kimia di Teheran, dikenali sebagai Cik Sara, mengakui tekanan psikologi semakin berat.
“Saya rasa seperti hilang akal. Saya berharap apa sahaja yang bakal berlaku, berlaku sahaja supaya kami keluar daripada keadaan tergantung ini,” katanya.

Wanita berusia 53 tahun itu berkata beliau masih buntu sama ada perlu menghentikan persekolahan anaknya dan memindahkan ahli keluarga warga emas lebih awal. Jika perang tercetus, katanya, jalan keluar dari Teheran akan sesak dalam masa singkat.

Pengalaman itu pernah dirasai pada perang 12 hari dengan Israel pada 2025 lalu apabila jutaan penduduk melarikan diri ke kawasan Laut Kaspia dan pergunungan berhampiran. Perjalanan empat jam bertukar hampir sehari kerana kesesakan luar biasa.

Walaupun ancaman meningkat, pemerintah belum mengumumkan pelan kecemasan menyeluruh. Datuk Bandar Teheran, Encik Alireza Zakani, hanya menyatakan stesen metro dan tempat letak kereta bawah tanah boleh dijadikan perlindungan sementara. “Kami tidak percaya akan berlaku perang begitu besar sehingga perlu mewujudkan keadaan darurat kepada rakyat,” katanya, sambil menuduh Washington cuba menimbulkan ketakutan.

Namun sebahagian rakyat berasa mereka dibiarkan menguruskan nasib sendiri.

“Seolah olah tiada pemerintah dan kami perlu mencari cara sendiri untuk bertahan daripada tentera paling kuat di dunia,” kata Encik Amir, seorang ahli perniagaan berusia 42 tahun yang kini enggan meninggalkan keluarga untuk bekerja di luar bandar.

Di dunia maya, perbincangan persediaan kecemasan semakin rancak. Rakyat berkongsi tip menulis nombor telefon kecemasan, menentukan lokasi pertemuan keluarga dan menyediakan bekalan asas sekiranya komunikasi diputuskan.

Seorang aktivis Iran yang berpangkalan di Perancis, Ilia Hashemi, menyarankan supaya rakyat menyediakan bekalan makanan dan air yang mencukupi untuk sekurang kurangnya dua minggu sebagai langkah berjaga jaga. Namun beliau kemudian menerima ratusan maklum balas bahawa ramai rakyat tidak mampu menyediakan bekalan walaupun untuk sehari.

Ini kerana Iran sedang berdepan krisis ekonomi serius. Nilai mata wang rial jatuh mendadak sejak Disember lalu dan inflasi meningkat kira kira 60 peratus berbanding tahun sebelumnya. Harga daging, ayam dan telur melonjak sehingga di luar kemampuan ramai keluarga.

“Tiada ruang untuk merancang apa apa. Keluarga tidak mampu membeli makanan dan ubat untuk disimpan. Mereka hanya fikir di mana mahu bersembunyi,” kata seorang penduduk Teheran bernama Encik Sahand.

Sebahagian rakyat juga risau tentang komunikasi. Seorang artis, Cik Maryam, membeli perkhidmatan rangkaian peribadi maya (VPN) untuk menembusi kemungkinan sekatan internet. “Semua orang keliru. Kami tidak tahu bila serangan mungkin berlaku atau sama ada ia akan berlaku langsung,” katanya.

Ketika ancaman meningkat, Pengawal Revolusi Iran menjalankan latihan ketenteraan di pesisir selatan negara itu. Pada masa sama, protes pelajar tercetus di beberapa bandar termasuk Teheran, Mashhad dan Isfahan, dengan tuntutan menamatkan pemerintahan agamawan.

Encik Reza, seorang penyokong pemerintah, mengkritik pihak berkuasa kerana memberi tumpuan kepada penindasan demonstrasi berbanding persediaan kecemasan. “Apabila kami berada di bawah bayang-bayang tentera paling kuat di dunia, tanggungjawab pemerintah ialah bersedia untuk senario terburuk,” katanya.

Namun tidak semua melihat serangan sebagai penyelesaian. Di kalangan pengkritik pemerintah ada yang mahu serangan berlaku sebagai pembalasan terhadap tindakan keselamatan sebelum ini, sementara yang lain bimbang negara akan musnah tanpa perubahan politik.

Seorang pekerja syarikat pemula teknologi, Encik Sahar, berkata rakyat biasa menjadi mangsa keadaan.
“Seperti dua lelaki berebut sebuah rumah,” katanya. “Akhirnya mereka membakarnya sedangkan kami masih berada di dalam.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg