Trump beri bayangan serangan ke atas Iran dalam Ucapan Negara di Kongres
Trump beri bayangan serangan ke atas Iran dalam Ucapan Negara di Kongres
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi bayangan kemungkinan serangan terhadap Iran dalam Ucapan Negara (State of the Union Address) di Kongres pada 24 Februari, sambil menegaskan Washington tidak akan membenarkan “penaja keganasan terbesar dunia” memiliki senjata nuklear.
Walaupun Amerika Syarikat sedang mengumpulkan kekuatan ketenteraan besar di Asia Barat, Encik Trump tidak memperincikan kepada rakyatnya rasional di sebalik kemungkinan tindakan ketenteraan paling agresif terhadap Republik Islam sejak Revolusi 1979.
Dalam ucapan hampir dua jam kepada sidang bersama Senat dan Dewan Perwakilan, Encik Trump menuduh Teheran menyokong kumpulan militan, menindas penunjuk perasaan serta membangunkan program peluru berpandu dan nuklear yang dianggap mengancam rantau itu dan Amerika Syarikat.
“Rejim Iran dan proksi pembunuhnya telah menyebarkan keganasan, kematian dan kebencian,” katanya kira kira 90 minit selepas memulakan ucapan.
Beliau turut menuduh Iran memulakan semula program nuklear, membangunkan peluru berpandu yang “tidak lama lagi” mampu mencapai Amerika Syarikat serta bertanggungjawab terhadap serangan bom tepi jalan yang membunuh anggota tentera dan orang awam Amerika.
Media pemerintah Iran pula mendakwa negara itu sedang membangunkan peluru berpandu yang mampu mencapai Amerika Utara, manakala Teheran menegaskan penyelidikan nuklearnya hanya bertujuan penjanaan tenaga awam.
Ucapan Encik Trump berlangsung ketika Washington meningkatkan penempatan tentera di Asia Barat dan bersedia menghadapi kemungkinan konflik berpanjangan jika rundingan nuklear gagal mencapai persetujuan.
Encik Trump sekali lagi meluahkan kekecewaan terhadap rundingan yang tidak mencapai kata sepakat.“Mereka mahu mencapai perjanjian, tetapi kami masih belum mendengar kata penentu itu: ‘Kami tidak akan memiliki senjata nuklear’,” katanya.
Beliau juga menuduh pemerintah Iran bertanggungjawab atas kematian ribuan penunjuk perasaan dalam demonstrasi anti pemerintah pada awal Januari lalu, walaupun angka 32,000 yang disebutnya jauh lebih tinggi daripada kebanyakan anggaran umum.
Beberapa jam sebelum ucapan itu, Setiausaha Negara Marco Rubio memberi taklimat sulit mengenai Iran kepada kumpulan pemimpin tertinggi Kongres yang dikenali sebagai “Gang of Eight”.
Pemimpin Demokrat Senat, Encik Chuck Schumer, menggesa pentadbiran Trump lebih telus berhubung sebarang tindakan ketenteraan. “Jika mereka mahu melakukan sesuatu di Iran, mereka perlu umumkan dan bincang dengan rakyat, bukan merahsiakannya,” katanya pada sidang media sebelum taklimat sulit itu.
Menurut beliau, operasi ketenteraan rahsia sering membawa kepada peperangan lebih lama, tragedi dan kos yang lebih tinggi.
Ucapan Encik Trump banyak tertumpu kepada isu domestik seperti ekonomi dan imigresen, selaras dengan sokongan politiknya yang berpegang kepada dasar “Utamakan Amerika” serta janji menamatkan era “perang tanpa penamat” seperti di Iraq dan Afghanistan.
Namun, bayangan konflik baharu berisiko menimbulkan kebimbangan politik menjelang pilihan raya pertengahan penggal November.
Tinjauan Reuters Ipsos pada Januari menunjukkan 69 peratus rakyat Amerika berpendapat tentera hanya wajar digunakan apabila terdapat ancaman langsung dan segera, manakala hanya 18 peratus tidak bersetuju.
Encik Trump sebelum ini mengarahkan serangan ke atas Iran pada 2025 dan mendakwa kemudahan nuklear negara itu telah “dimusnahkan sepenuhnya”. Namun pembantunya kemudian berkata Teheran masih hampir memperoleh kemampuan menghasilkan bom nuklear.
Dalam ucapan terbaharu, Encik Trump menegaskan Iran sedang meneruskan usaha tersebut. “Mereka mahu bermula semula dan pada masa ini mengejar cita cita berbahaya mereka,” katanya.
Walaupun memberi amaran keras, Encik Trump menegaskan beliau lebih mengutamakan keamanan.
“Sebagai presiden, saya akan berdamai di mana sahaja yang boleh, tetapi saya tidak akan teragak agak menghadapi ancaman terhadap Amerika di mana sahaja perlu,” katanya. - Agensi berita

