Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat Myanmar keluar mengundi dilapor rendah sejak rampasan kuasa 2021

Dec 29, 2025 | 1:44 PM
pilihan raya, Myanmar, tentera
Pegawai pilihan raya Myanmar mengira undi awal selepas penutupan fasa pertama pilihan raya umum di sebuah pusat pengundian di Naypyitaw, ibu negara Myanmar, pada 28 Disember 2025. - Foto EPA

YANGON: Myanmar memulakan pusingan peringkat awal pilihan raya umum pertamanya sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 dalam suasana suram, dengan kehadiran pengundi yang rendah, sekatan ketat keselamatan serta keraguan meluas terhadap kewibawaan proses pengundian.

Pengundian bagi Parlimen yang berlangsung pada 28 Disember itu dilihat hampir pasti memihak kepada junta tentera yang memerintah, yang dituduh mengatur dan mengawal sepenuhnya proses pilihan raya.

Keputusan awal hampir tidak diragui, dengan tentera dijangka mengekalkan cengkaman kuasa mereka di tengah-tengah perang saudara yang berlarutan.

Penduduk di beberapa bandar utama, termasuk Yangon dan Mandalay, berkata pada 29 Disember kadar mereka yang keluar mengundi jauh lebih rendah berbanding pilihan raya 2015 dan 2020, mencerminkan keletihan, ketakutan dan kekecewaan rakyat.

“Ramai orang mengundi kerana takut, bukan kerana berharap,” kata peniaga kosmetik di Mandalay, Cik Sandy Chit, 34 tahun.

“Saya tidak percaya pilihan raya ini akan mengubah apa-apa, tetapi saya tetap datang untuk mengelakkan masalah.”

Sejak merampas kuasa pada 2021 dengan menolak keputusan pilihan raya yang dimenangi Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan, Cik Aung San Suu Kyi, tentera Myanmar telah memerintah negara itu secara autoritarian.

Cik Suu Kyi kini dipenjarakan, manakala partinya dibubarkan bersama kira-kira 40 parti politik lain yang disingkirkan daripada landskap politik negara.

Namun, segelintir pihak masih melihat pilihan raya itu sebagai satu-satunya jalan pragmatik, walaupun terhad, untuk memperbaiki keadaan.

“Kami perlu melakukan sesuatu. Kami tidak boleh terus hidup begini,” kata Pengerusi Parti Rakyat Kayin, Encik Nant Khin Aye Oo, antara beberapa parti yang masih dibenarkan bertanding.

Pilihan raya itu berlangsung secara berperingkat dalam tiga fasa sehingga 25 Januari.

Pengundian hanya dijalankan di kawasan yang berada di bawah kawalan tentera.

Keputusan rasmi dijangka diumum selepas fasa terakhir selesai.

Pihak junta dilihat berusaha menggunakan pilihan raya itu untuk memberi gambaran legitimasi, termasuk bagi meredakan tekanan China, yang menggesa satu laluan politik bagi menamatkan konflik bersenjata selama hampir empat tahun.

Tentera Myanmar kini dianggarkan hanya menguasai kurang separuh wilayah negara.

Bagi mengekang sebarang bantahan terbuka, pihak berkuasa memperkenalkan undang-undang baru yang menjadikan kritikan terhadap pilihan raya sebagai satu kesalahan jenayah.

Sejak Julai lalu, lebih 100 orang ditahan di bawah peruntukan tersebut, termasuk Encik Yan Naing Kyi Win, yang dijatuhi hukuman penjara selama 49 tahun pada November selepas menampal pelekat menentang pilihan raya.

Menurut saudara kembarnya, Encik Yan Naung Kyi Win, tindakan itu bertujuan menyampaikan mesej bahawa rakyat Myanmar tidak menerima pemerintahan tentera yang cuba tampil sebagai pemerintah awam.

Beliau turut mendakwa abangnya telah dipukul dan diseksa sepanjang berada dalam tahanan.

Ramai penjawat awam berkata mereka terpaksa mengundi kerana tekanan institusi.

Kakitangan pemerintah di Mandalay, Encik Wai Yan Aung, 42 tahun, berkata penyertaannya dipantau oleh pejabatnya.

“Bagi orang seperti saya, ini bukan satu pilihan sebenar. Ada rakan sekerja yang tidak datang mengundi. Ada yang takut, ada yang muak berpura-pura, dan ada yang percaya pilihan raya ini tidak bermakna,” katanya.

Di ibu kota Naypyidaw, Ketua Junta Jeneral Kanan, Min Aung Hlaing, tampil tersenyum selepas mengundi, menunjukkan jari kelingkingnya yang dicelup dakwat ungu.

“Kami boleh menjamin pilihan raya ini bebas dan adil kerana ia dikendalikan oleh tentera,” katanya.

“Tentera kami tidak akan membiarkan reputasinya tercemar.”

Sebahagian pembangkang tetap memilih untuk bertanding.

Aktivis prodemokrasi veteran, Encik U Ko Ko Gyi, yang bertanding di Yangon di bawah Parti Rakyat, mengakui kekurangan pilihan raya itu tetapi melihatnya sebagai langkah paling realistik.

“Suka atau tidak, kita tidak boleh mengeluarkan tentera sepenuhnya daripada politik,” katanya.

“Persoalannya, apakah alternatif yang lebih baik?”

Namun, Pemerintah Perpaduan Nasional (NUG) dalam buangan mengecam sebarang penyertaan, menyifatkan pilihan raya itu sebagai helah untuk memberi wajah demokratik kepada apa yang mereka gelar sebagai penipuan politik.

Pilihan raya itu berlangsung di tengah-tengah krisis kemanusiaan dan ekonomi yang mendalam.

Sejak 2020, ekonomi Myanmar menyusut sekitar 9 peratus, manakala inflasi melonjak kepada 34 peratus.

Lebih 3.5 juta orang kini menjadi pelarian dalaman, bekalan elektrik terhad, dan barangan asas semakin tidak mampu dibeli.

“Tidak mengundi adalah cara saya mengatakan bahawa saya tidak menerima proses ini,” kata jurutera awam, Encik Arkar Min Naing, 28 tahun.

“Bagi saya, pilihan raya ini tidak mencerminkan kehendak rakyat.”

Walaupun keputusan hampir pasti memihak kepada junta, sebahagian rakyat Myanmar masih berharap, sekurang-kurangnya, keadaan hidup mereka yang semakin terhimpit dapat diperbaiki. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg