Rakyat Palestin kagumi S’pura, mahu eratkan hubungan dua hala

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat Palestin kagumi S’pura, mahu eratkan hubungan dua hala

Feb 25, 2026 | 12:01 PM

Rakyat Palestin kagumi S’pura, mahu eratkan hubungan dua hala

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
rakyat palestin, singapura
Menteri Kewangan dan Perancangan Penguasa Palestin (PA), Dr Estephan Salameh, dalam wawancara bersama Berita Harian pada 24 Februari sempena lawatannya ke Singapura - Foto BH oleh KHALID BABA

Rakyat Palestin menaruh kekaguman mendalam terhadap Singapura dan melihatnya sebagai rakan penting serta model pembangunan yang wajar dicontohi, kata Menteri Kewangan dan Perancangan Penguasa Palestin (PA), Dr Estephan Salameh.

Beliau berkata sentimen positif terhadap Singapura bukan sekadar di peringkat pemerintah, malah turut dirasai rakyat Palestin secara umum.

“Kami benar-benar menyukai Singapura. Rakyat Palestin menyukai Singapura. Dan kami melihat Singapura sebagai model yang baik untuk kami,” katanya dalam wawancara bersama Berita Harian di bangunan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) di Hill Street pada 24 Februari sempena lawatan rasminya ke Singapura.

Menurut beliau, kejayaan Singapura dalam tadbir urus, pembangunan ekonomi dan pengurusan masyarakat majmuk menjadi rujukan penting kepada Palestin yang sedang membina negara dalam keadaan mencabar.

Dr Salameh berkata lawatan beliau turut merangkumi pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim serta Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.

Beliau menambah semua pihak yang ditemui menunjukkan keterbukaan untuk membantu Palestin.

“Mereka membuka pintu kepada kami, berkongsi sistem dan pengalaman mereka. Saya percaya kami mempunyai banyak perkara untuk dipelajari daripada Singapura,” katanya.

Menurutnya, Palestin berhasrat memperkukuh persahabatan dan kerjasama praktikal, khususnya dalam bidang pembangunan institusi dan pentadbiran.

“Kami amat berminat untuk mengukuhkan persahabatan dan kerjasama serta saling belajar antara satu sama lain,” katanya.

Dr Salameh turut menggesa masyarakat Singapura melihat Palestin melangkaui gambaran konflik yang sering dipaparkan media.

Beliau menegaskan rakyat Palestin merupakan masyarakat rajin dan berpendidikan tinggi yang berusaha membangunkan negara sendiri.

“Rakyat Palestin mencintai negara mereka dan sedang berusaha keras membinanya,” katanya.

Menurutnya, rakyat Palestin antara paling berpendidikan di rantau Asia Barat dan turut menyumbang kepakaran kepada negara lain.

“Rakyat Palestin ialah masyarakat yang baik dan rajin bekerja, dan kami juga mempunyai banyak sumbangan. Kami telah membantu negara lain membangunkan negara mereka, khususnya di rantau kami,” katanya.

Beliau turut menggambarkan Palestin sebagai masyarakat yang berorientasikan keluarga, mesra dan kaya budaya.

“Rakyat Palestin berpendidikan, berorientasikan keluarga dan masyarakat yang mesra dengan budaya yang kukuh serta sejarah yang panjang,” katanya sambil menggalakkan rakyat Singapura melawat Palestin bagi merasai sendiri keramahan penduduk serta tempat suci di wilayah itu.

Dalam masa sama, Dr Salameh berkata bantuan antarabangsa termasuk dari Singapura amat diperlukan berikutan krisis kemanusiaan yang berterusan.

Beliau menyifatkan situasi di Gaza sebagai akibat peperangan yang memusnahkan sebahagian besar wilayah tersebut.

“Lebih 80 peratus Gaza telah musnah dan puluhan ribu orang terbunuh,” katanya.

Menurutnya, keperluan kemanusiaan bukan hanya di Gaza tetapi juga di Tebing Barat, yang berdepan sekatan keselamatan dan keganasan peneroka.

Beliau turut menghargai bantuan kemanusiaan Singapura yang bernilai jutaan dolar Amerika Syarikat kepada rakyat Palestin sepanjang 2025.

“Sokongan anda datang pada masa yang sangat sukar dan amat dihargai kerana rakyat kekurangan makanan dan keperluan asas,” katanya.

Sepanjang lawatan di Singapura, Dr Salameh berkata beliau tertarik dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan tahap pembangunan Singapura.

“Saya merasai kehangatan sokongan rakyat terhadap Palestin. Saya akan membawa pengalaman ini pulang kepada rakyat saya,” katanya sambil berharap hubungan kedua dua pihak terus berkembang pada masa depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg