GAZA: Cadangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk mengambil alih Jaluran Gaza dan menempatkan semula lebih dua juta penduduk Palestin di luar wilayah itu mencetuskan kemarahan dan kecaman daripada pelbagai pihak, khususnya rakyat Palestin dan sekutu mereka.
Rakyat Palestin menegaskan mereka tidak akan meninggalkan tanah air mereka walau dalam apa jua keadaan.
Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, menolak sekeras-kerasnya usulan itu dan menyifatkannya sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.
“Kami tidak akan membiarkan hak rakyat kami dirampas. Gaza adalah sebahagian dari negara Palestin,” kata Encik Abbas dalam satu kenyataan.
Bagi rakyat Palestin dan kebanyakan negara lain, rancangan itu dilihat sebagai satu bentuk pembersihan etnik yang bertujuan mengusir penduduk dari tanah air mereka setelah lebih 15 bulan konflik berterusan antara Israel dengan kumpulan Hamas.
Rancangan itu juga dianggap sebagai usaha menghapuskan perjuangan rakyat Palestin bagi mendapatkan negara merdeka yang mendapat sokongan antarabangsa yang meluas.
Dalam sidang media di Rumah Putih bersama Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 4 Februari, Encik Trump mengumumkan bahawa Amerika akan mengambil alih Gaza dan menjadikan wilayah itu sebuah kawasan pembangunan ekonomi yang bakal memberikan ribuan peluang pekerjaan.
Saranan itu mendapat tentangan hebat dari negara Arab, termasuk Mesir dan Jordan, yang merupakan sekutu rapat Amerika, namun mereka tetap menolak sebarang usaha untuk memindahkan rakyat Palestin dari tanah mereka.
Arab Saudi turut mengeluarkan kenyataan rasmi menolak cadangan tersebut dan menegaskan bahawa mereka tidak akan memulihkan hubungan dengan Israel tanpa penyelesaian adil yang melibatkan pembentukan negara Palestin yang merangkumi Gaza.
Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Riyad Mansour, menyambut baik penolakan sejagat terhadap cadangan Encik Trump.
Beliau turut mendedahkan bahawa satu persidangan antarabangsa dijadual pada Jun bagi membincangkan cara menamatkan pendudukan Israel ke atas Gaza, Tebing Barat, dan Baitulmakdis Timur.
“Tiada kuasa di dunia yang boleh mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka, termasuk Gaza,” tegas Encik Mansour dalam perhimpunan PBB bagi hak asasi Palestin.
Penduduk Palestin di Gaza juga menolak sepenuhnya rancangan itu.
“Kami telah menanggung hampir satu setengah tahun pengeboman dan kemusnahan, namun kami tetap bertahan di Gaza,” kata seorang lelaki kepada BBC.
“Kami lebih rela mati di Gaza daripada meninggalkannya. Kami akan terus berada di sini sehingga kami membangunkannya semula.
“Trump boleh berbuat sesuka hatinya, tetapi kami dengan tegas menolak keputusannya,” tambahnya.
Rakyat Palestin menunjukkan tekad luar biasa untuk kembali ke kediaman mereka selepas hampir keseluruhan penduduk dipaksa berpindah akibat perang.
Orang ramai berpusu-pusu kembali ke utara Gaza dan Rafah, kedua-duanya musnah akibat serangan udara dan serangan darat Israel.
Dengan kejiranan mereka hanya tinggal runtuhan, ramai yang kini kehilangan tempat tinggal, air bersih sukar diperoleh, dan bekalan elektrik hampir tidak wujud di kebanyakan kawasan.
Namun, bagi kebanyakan mereka, kemusnahan itu tidak melemahkan keazaman mereka untuk terus bertahan.
“Kami tetap di sini, walaupun terpaksa hidup di atas runtuhan rumah kami — lebih baik begitu daripada hidup dalam kehinaan di tempat lain,” kata Encik Ibrahim Abu Rizk, yang kembali ke Rafah hanya untuk mendapati rumahnya telah musnah.
“Selama satu setengah tahun, kami disembelih, dibom, dan dimusnahkan, kemudian mahu pergi begitu sahaja?” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg