Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Timur Tengah segera kecam cadangan Trump agar AS ambil alih Gaza

Feb 5, 2025 | 4:53 PM
Pengisytiharan Presiden Donald Trump pada petang 4 Februari bahawa Amerika Syarikat boleh “mengambil alih” Jaluran Gaza dan penduduk Palestin dipindahkan secara kekal mendapat kecaman dari  Timur Tengah.
Pengisytiharan Presiden Donald Trump pada petang 4 Februari bahawa Amerika Syarikat boleh “mengambil alih” Jaluran Gaza dan penduduk Palestin dipindahkan secara kekal mendapat kecaman dari Timur Tengah. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Pengisytiharan Presiden Donald Trump pada petang 4 Februari bahawa Amerika Syarikat boleh “mengambil alih” Jaluran Gaza dan penduduk Palestin dipindahkan secara kekal telah dikecam serta-merta di Timur Tengah.

Dalam sidang akhbar bersama di Rumah Putih dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, Encik Trump berkata:

“Amerika akan mengambil alih Jaluran Gaza, dan kami akan melakukan sesuatu mengenainya. Kami akan memiliki Gaza.”

Beliau berkata wilayah itu, yang telah musnah akibat perang lebih 15 bulan antara Israel dengan Hamas, boleh dibangunkan semula sebagai, “tempat percutian pantai yang indah atau Riviera Timur Tengah”.

Dalam reaksinya, ketua delegasi Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Riyad Mansour, berkata daripada dipindahkan ke negara lain, rakyat Palestin di Gaza harus dibenarkan untuk menuntut semula apa yang pernah menjadi rumah penduduk Palestin di Israel.

“Bagi mereka yang ingin menghantar” warga Gaza “ke ‘tempat yang bagus’” Encik Mansour menggunakan bahasa yang digunakan Encik Trump dengan berkata, “biarkan mereka pulang ke rumah asal mereka di dalam Israel. Terdapat tempat yang bagus di sana, dan mereka akan gembira kembali ke tempat ini”.

Beliau menambah bahawa rakyat Palestin mahu membina semula Gaza sendiri dan beliau menggesa pemimpin dunia supaya menghormati kehendak dan hak mereka.

Tanpa merujuk kepada cadangan Encik Trump itu, Kementerian Luar Arab Saudi berkata ia mengesahkan “penolakan sepenuhnya terhadap sebarang pelanggaran hak sah rakyat Palestin, sama ada melalui dasar penempatan Israel, pencerobohan tanah Palestin atau percubaan untuk memindahkan penduduk Palestin dari tanah air mereka”.

“Kewajipan masyarakat antarabangsa hari ini adalah untuk berusaha meringankan penderitaan teruk yang dialami rakyat Palestin, yang akan kekal komited terhadap tanah tumpah darah mereka dan tidak akan berganjak daripadanya,” kata kementerian itu.

Seorang lagi senator Demokrat, Encik Chris Van Hollen, dari Maryland, menyifatkan cadangan Encik Trump sebagai “pembersihan etnik dengan nama lain,” menambah:

“Pengisytiharan ini akan memberi peluru kepada Iran dan musuh lain sambil menjejas rakan kongsi Arab kita di rantau ini.”

Pada 1 Februari, sekumpulan besar negara Arab telah menolak cadangan Encik Trump untuk memindahkan rakyat Gaza ke Mesir dan Jordan – bukannya mengambil alih Gaza.

Dalam satu kenyataan bersama, negara-negara itu berkata bahawa rancangan sedemikian akan berisiko meluaskan lagi konflik di Timur Tengah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg