Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat Venezuela jalani kehidupan dalam suasana tidak pasti

Jan 6, 2026 | 12:41 PM
Venezuela, United States, Nicolas Maduro
Orang ramai membeli telur di samping seorang penyokong bersenjata Presiden Venezuela yang digulingkan, Encik Nicolas Maduro, yang memantau peniaga bagi mengelakkan spekulasi harga barangan di ibu kota Caracas pada 4 Januari, sehari selepas beliau ditangkap dalam serbuan tentera Amerika Syarikat. - Foto AFP

CARACAS: Kehidupan harian di beberapa bahagian Venezuela mula menunjukkan tanda-tanda kembali normal pada pagi 5 Januari, dua hari selepas operasi ketenteraan Amerika Syarikat yang membawa kepada penangkapan Presiden yang digulingkan, Encik Nicolas Maduro.

Namun suasana di jalan-jalan utama dan kawasan perniagaan kekal suram, dengan kehadiran orang ramai jauh lebih rendah berbanding kebiasaan.

Ramai rakyat Venezuela mengakui mereka masih cuba menghadam kejadian dramatik pada 3 Januari lalu, apabila operasi ketenteraan besar-besaran Amerika menggoncang Caracas dan beberapa bandar utama lain.

Ketidakpastian mengenai masa depan politik dan ekonomi negara itu kini menjadi kebimbangan utama rakyat.

Di bandar Barquisimeto, di barat laut Venezuela, pemilik perniagaan kecantikan dan solekan, Cik Mariela Gonzalez, 52 tahun, berkata beliau mengambil keputusan membuka semula kedainya selepas berbincang dengan rakan-rakan peniaga melalui WhatsApp.

“Kami takut, tetapi kami tidak boleh membiarkan diri kami lumpuh.

“Jika kami terus menutup perniagaan, kami sendiri yang tidak akan mampu bertahan,” katanya.

Kebimbangan itu turut dirasai dalam sektor runcit.

Selepas gelombang pembelian panik pada hujung minggu, jumlah pelanggan pada Isnin dilaporkan menurun dengan ketara.

Pengurus sebuah pasar raya di Barquisimeto, Encik Rosendo Linarez, 38 tahun, berkata orang ramai kini hanya membeli barangan keperluan asas.

“Kami buka kerana kami perlu bekerja, dan juga kerana makanan mudah rosak jika tidak dijual. Tetapi orang ramai hanya membeli yang perlu sahaja,” katanya.

Di Maracaibo, bandar kedua terbesar Venezuela yang terletak di wilayah Zulia, pemandu teksi dan bas menganggarkan lebih satu pertiga rakan sekerja mereka memilih untuk tidak keluar bekerja, sama ada kerana takut atau ketiadaan penumpang.

“Penumpang sangat sedikit, dan suasananya tegang tetapi sunyi. Saya keluar bekerja kerana terpaksa. Takut atau tidak, kita tetap perlu makan,” kata pemandu bas, Encik Marielys Urdaneta, 41 tahun.

Penjual makanan ringan di sebuah kiosk di Caracas, Encik Douglas Sanchez, turut meluahkan perasaan yang sama.

“Kita rasa cemas, terdesak, semuanya bercampur. Tetapi kita tetap perlu keluar bekerja untuk cari sedikit wang membeli makanan. Kalau tidak bekerja, kita tiada apa-apa,” katanya.

Di kawasan berhampiran sempadan Colombia, penduduk bandar San Cristobal pula cuba mengekalkan rutin harian meskipun masa depan negara semakin tidak menentu.

Encik Carlos Pérez, 66 tahun, berkata rakyat Venezuela sudah terbiasa hidup dalam kesukaran.

“Kami hanya menunggu, seperti semua rakyat Venezuela, menunggu apa yang akan berlaku seterusnya,” katanya ketika menyeberangi Jambatan Antarabangsa Simon Bolívar menuju Colombia.

San Cristobal terletak kira-kira 40 kilometer dari jambatan tersebut, yang sebelum ini menjadi laluan utama bagi jutaan rakyat Venezuela melarikan diri daripada krisis ekonomi dan pemerintahan autoritarian di bawah Encik Maduro.

Namun, meskipun tentera Colombia ditempatkan di sekitar jambatan susulan operasi ketenteraan Amerika, tiada lonjakan besar pergerakan rentas sempadan dilaporkan, dengan aliran keluar masuk kekal pada paras biasa.

Encik Maduro ditangkap oleh pasukan Amerika pada awal pagi 3 Januari lalu dalam satu operasi ketenteraan melibatkan kira-kira 150 pesawat dan 200 anggota pasukan khas.

Beliau dan isterinya, Cik Celia Flores, mengaku tidak bersalah semasa perbicaraan awal di sebuah mahkamah persekutuan di New York pada Isnin.

Kedua-duanya berdepan pertuduhan berkaitan narkoterorisme, iaitu pengganasan penyeludupan kokain dan senjata.

Bagi sebahagian rakyat, tindakan itu dilihat sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Encik Escolastica Rodríguez, 72 tahun, dari bandar Valencia, berkata campur tangan tersebut memberi sinar harapan.

“Sesuatu memang perlu dilakukan, dan ia telah dilakukan.

“Kami menunggu sesuatu yang lebih baik dari ini,” katanya.

Sejak 2015, lebih tujuh juta rakyat Venezuela meninggalkan negara itu akibat kejatuhan ekonomi dan penindasan politik.

Cik Neyla Duarte, 43 tahun, yang berhijrah ke Colombia 11 tahun lalu, berkata operasi ketenteraan Amerika menghidupkan kembali harapan yang lama terpadam.

“Kami mahu Venezuela seperti dahulu. Ramai ibu bapa dan orang tua kami tidak sempat melihat saat ini,” katanya.

“Saya berharap akan berlaku perubahan demokratik, kerana itulah yang paling diperlukan negara ini.”

Pemerintah sementara Venezuela pula berusaha mempamerkan ketenangan dan ketegasan.

Presiden sementara, Cik Delcy Rodríguez, mengangkat sumpah sebagai presiden interim pada 5 Januari dan mengumumkan penubuhan sebuah suruhanjaya khas untuk “membebaskan” Encik Maduro dan Cik Flores daripada tahanan Amerika.

Dalam kenyataan di media sosial, Cik Rodríguez menyeru Presiden Amerika, Encik Donald Trump, supaya “bekerjasama dalam agenda kerjasama”, sambil menegaskan hak Venezuela terhadap kedaulatan dan masa depan sendiri.

Encik Trump sebelum ini berkata Amerika kini “mengendalikan” Venezuela buat sementara waktu, dan mengancam serangan lanjut sekiranya pemerintah interim enggan mematuhi tuntutan Washington, termasuk membuka rizab minyak negara itu kepada syarikat-syarikat Amerika. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg