Ramadan di Gaza bermula di celah runtuhan masjid
Penduduk giat bina semula masjid yang musnah untuk sediakan ruang solat sementara dengan kepingan plastik dan kayu
JALURAN GAZA: Ketika Ramadan menjelang di Gaza pada 18 Februari, rakyat Palestin berbundung-bundung menuju ke runtuhan masjid yang telah menyembah bumi atau ke ruang solat sementara yang diperbuat daripada kanvas dan kayu.
Mereka tiada pilihan dan memanfaatkan seadanya.
Di Bandar Gaza, kubah Masjid Al Hassaina yang telah musnah terletak di atas timbunan runtuhan.
Bekas halamannya, tempat para jemaah pernah berkumpul, kini menjadi tempat pelarian melepaskan lelah dan memasak untuk meneruskan kehidupan.
“Saya tidak tahan melihat keadaaan masjid ini,” kata Encik Sami Al Hissi, 61 tahun, seorang sukarelawan di Al Hassaina.
“Kami biasa solat dengan selesa.
“Kami biasa melihat rakan-rakan kami, orang tersayang kami. Kini tiada orang tersayang, tiada rakan dan tiada masjid,” katanya dengan nada sedih..
Kanak-kanak memanjat kubah yang retak dan wanita pula mengumpul pakaian yang digantung di antara tiang yang rosak.
Encik Al Hissi berkata masjid itu pernah menarik para jemaah daripada kawasan kejiranan lain termasuk Shejaia dan Daraj semasa Ramadan.
“Ia akan dipenuhi dengan beribu-ribu jemaah.
“Tetapi sekarang di mana mereka hendak sama-sama mengerjakan solat? tanya beliau sambil menambah bahawa sebahagian besar bangunan masjid itu telah runtuh.
Baki ruang solat di celah-celah runtuhan tidak cukup untuk menampung seratus jemaah, katanya lagi.
Israel melancarkan serangan udara dan daratnya di Gaza selepas serangan rentas sempadannya oleh Hamas pada 7 Oktober 2023, mengorbankan 1,200 orang.
Serangan balas dan berterusan Israel telah membunuh 72,000 rakyat Palestin, kata pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Pejabat media pemerintah Gaza yang dikendalikan oleh Hamas menyatakan tentera Israel telah memusnahkan sepenuhnya 835 buah masjid dan merosakkan 180 masjid yang lain.
Encik Khitam Jabr, yang kehilangan tempat tinggal dan kini menumpang di runtuhan sebuah masjid, berkata:
“Semua masjid telah musnah dan tiada tempat untuk bersolat. Kini kami solat di dalam khemah.”
Namun, penduduk giat berusaha membina semula bahagian-bahagian kecil masjid yang musnah untuk menyediakan ruang solat sementara dengan menggunakan kepingan plastik dan kayu. – Reuters.

