Israel batas bilangan jemaah solat Jumaat semasa Ramadan di Al-Aqsa
Israel batas bilangan jemaah solat Jumaat semasa Ramadan di Al-Aqsa
Sekatan usia ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat turut dilaksanakan
BAITULMAKDIS: Pihak berkuasa Israel mengumumkan bahawa ia akan mengehadkan bilangan jemaah Palestin dari Tebing Barat yang didudukinya untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa kepada 10,000 orang semasa Ramadan.
Ia juga telah mengenakan sekatan usia ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat dengan hanya membenarkan lelaki berusia lebih 55 tahun, wanita berusia lebih 50 tahun dan kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun untuk masuk ke masjid itu.
“10,000 jemaah Palestin akan dibenarkan untuk solat Jumaat sepanjang Ramadan, dengan syarat mereka mendapatkan permit harian khas terlebih dahulu,” kata Cogat, badan Kementerian Pertahanan Israel yang bertanggungjawab untuk hal ehwal awam di wilayah Palestin, dalam satu kenyataan pada 18 Februari.
“Permit masuk untuk lelaki terpakai kepada mereka yang berumur 55 tahun ke atas, untuk wanita berumur 50 tahun ke atas, dan untuk kanak-kanak sehingga 12 tahun jika ditemani oleh saudara mara,” jelasnya.
Cogat memberitahu AFP bahawa sekatan hanya terpakai kepada rakyat Palestin yang datang daripada Tebing Barat, yang telah diduduki Israel sejak perang Arab-Israel 1967.
“Ditekankan bahawa semua permit bergantung pada kelulusan keselamatan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa keselamatan yang berkaitan,” kata Cogat.
“Di samping itu, penduduk yang datang untuk solat akan dikehendaki menjalani dokumentasi digital di sempadan apabila kembali ke wilayah Judea dan Samaria selepas selesai solat,” katanya lagi.
Semasa Ramadan, ratusan ribu rakyat Palestin secara tradisinya mengerjakan solat di Masjid Al-Aqsa, tempat ketiga paling suci dalam Islam, yang terletak di timur Baitulmakdis.
Masjid itu kemudian ditawan Israel pada1967 yang kemudiannya mengambil wilayah tersebut secara paksa, langkah yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sejak perang meletus di Gaza pada Oktober 2023, bilangan jemaah telah berkurangan disebabkan oleh kebimbangan keselamatan dan sekatan Israel.
Al-Aqsa terletak di tengah-tengah Kota Lama Baitulmakdis yang dikenali orang Yahudi sebagai Har ha-Bayit, atau Temple Mount, dan bagi umat Islam di peringkat antarabangsa sebagai al-Haram al-Sharif.
Penguasa Palestin di Baitulmakdis berkata minggu ini bahawa pihak berkuasa Israel telah menghalang Wakaf Islam, sebuah badan yang dikendalikan oleh Jordan bagi menguruskan tapak tersebut, daripada menjalankan persediaan rutin menjelang Ramadan, termasuk memasang struktur teduhan dan menubuhkan klinik perubatan sementara.
Seorang imam kanan Masjid Al-Aqsa, Sheikh Muhammad al-Abbasi, memberitahu bahawa beliau juga dilarang memasuki kompleks tersebut. – AFP.

