RAMALLAH: Tinjauan pendapat oleh pusat penyelidikan terkemuka Palestin dan Yayasan Jerman menunjukkan bahawa walaupun kebanyakan rakyat Palestin tidak menyokong Hamas, populariti kumpulan itu telah meningkat ketika perang Israel di Gaza.
Peningkatan itu jelas dapat dilihat dalam kalangan rakyat Palestin di Tebing Barat yang tidak pernah tinggal di bawah pemerintahan kumpulan Hamas atau pengeboman Israel.
Tinjauan melibatkan lebih 1,200 orang dewasa di Tebing Barat dan Gaza itu juga mencadangkan bahawa kebanyakan rakyat Palestin tidak yakin bahawa Israel boleh menghapuskan Hamas.
Diterbitkan pada 13 Disember, tinjauan itu dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Dasar dan Tinjauan Palestin dengan kerjasama Konrad-Adenauer-Stiftung, sebuah yayasan Jerman, semasa gencatan kemanusiaan dari 22 November hingga 2 Disember.
Para penyelidik menjalankan temu bual secara bersemuka – di 121 lokasi yang dipilih secara rambang – dengan 750 orang dewasa di Tebing Barat dan 481 di Gaza.
Tinjauan itu menunjukkan sokongan untuk Hamas di Tebing Barat meningkat lebih tiga kali ganda – kepada 44 peratus daripada 12 peratus – dan meningkat sedikit di Gaza, kepada 42 peratus daripada 38 peratus, berbanding dengan angka tiga bulan lalu.
Kebanyakan responden menyatakan Hamas telah membuat keputusan yang tepat dalam menyerang Israel, tetapi 90 peratus menyatakan mereka sama ada tidak tahu atau tidak percaya bahawa Hamas telah melakukan kekejaman terhadap orang awam Israel.
Dapatan lain tinjauan:
[ο] Kebanyakan responden – 82 peratus di Tebing Barat dan 57 peratus di Gaza – bersetuju dengan keputusan Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober walaupun mengakibatkan kemusnahan dalam perang berikutnya;
[ο] 70 peratus responden percaya bahawa Israel tidak akan berjaya menghapuskan Hamas, dan 21 peratus berkata bahawa Israel hanya akan melemahkan kumpulan militan itu. Penduduk Tebing Barat (87 peratus) jauh lebih berkemungkinan daripada penduduk Gaza (44 peratus) bersetuju dengan pandangan bahawa Israel akan gagal;
[ο] 60 peratus responden berkata mereka akan menyokong pembubaran Pihak Berkuasa Palestin;
[ο] 90 peratus responden berkata mereka mahu Encik Mahmoud Abbas, presiden Pihak Berkuasa Palestin, meletakkan jawatannya;
[ο] Sokongan terhadap perjuangan bersenjata telah meningkat 10 mata sejak permulaan perang, dengan 60 peratus responden di Gaza menyatakan ia adalah cara terbaik untuk menamatkan pendudukan Israel. Jumlah itu meningkat kepada hampir 70 peratus di Tebing Barat; dan
[ο] Sepertiga responden berkata mereka menyokong penyelesaian dua negara. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg