Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera AS boleh tahan individu di LA semasa bantahan imigresen

Ketegangan mula reda selepas ratusan ditahan
Jun 12, 2025 | 10:56 AM
new york city, protest, imigresen, pendatang haram
Pegawai penguat kuasa undang-undang bertembung dengan penunjuk perasaan dan menahan mereka semasa berlakunya bantahan terhadap serbuan imigresen di Bandar New York pada 11 Jun. - Foto REUTERS

LOS ANGELES: Tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di Los Angeles kini dibenarkan menahan individu sementara menanti pihak polis tiba bagi membuat tangkapan.

Demikian menurut pegawai tertinggi mereka pada 11 Jun.

Langkah itu berlaku tatkala beratus-ratus Marin Amerika bersedia bergerak masuk ke bandar tersebut yang bergolak akibat bantahan terhadap serbuan imigresen yang dilakukan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Los Angeles pada 11 Jun menyaksikan hari keenam bantahan yang kebanyakannya aman, tetapi kadangkala disertai keganasan.

Bantahan itu turut merebak ke bandar lain di Amerika, dengan ratusan lagi tunjuk perasaan dijangka berlangsung pada 14 Jun.

Keputusan Encik Trump untuk menghantar tentera ke Los Angeles, walaupun mendapat tentangan daripada Gabenor California, Encik Gavin Newsom, telah mencetuskan perdebatan nasional mengenai penggunaan tentera.

Encik Newsom dan pentadbirannya telah memfailkan saman terhadap pemerintah Amerika bagi menghentikan penghantaran tentera tersebut.

“Saya faham bahawa tentera tidak memiliki kuasa untuk melakukan tangkapan atau menahan individu,” kata Syerif Los Angeles, Encik Robert Luna, dalam satu sidang akhbar.

Panglima Tentera Amerika, Jeneral Scott Sherman, yang mengetuai pasukan yang dihantar, menjelaskan bahawa 700 Marin dan 4,000 anggota Pengawal Kebangsaan yang dikerah tidak diberi kuasa membuat tangkapan.

Namun, mereka boleh menahan individu sementara menunggu pihak berkuasa undang-undang tiba.

“Mereka tidak membuat tangkapan. Mereka hanya di sana untuk menahan dan menunggu penguatkuasaan undang-undang datang bagi mengendalikan para penunjuk perasaan,” kata Jeneral Sherman.

Namun, Gabenor Newsom mengkritik penghantaran tentera itu dan memfailkan tuntutan mahkamah untuk menghentikan penglibatan Pengawal Kebangsaan dan Marin dalam penguatkuasaan undang-undang sivil.

Beliau berpendapat bahawa tiada keadaan darurat yang membenarkan penggunaan tentera, seperti pemberontakan atau ancaman terhadap keselamatan awam.

Encik Trump mempertahankan langkah itu dengan mengatakan bahawa tindakan keras adalah sebahagian daripada janji kempen beliau untuk melakukan pengusiran besar-besaran terhadap pendatang tanpa izin.

“Jika saya tidak bertindak dengan cepat, Los Angeles akan terbakar sekarang,” katanya di sebuah acara.

Sementara itu, Datuk Bandar Los Angeles, Cik Karen Bass, bersama sekitar 30 Datuk Bandar dari California, menyatakan bahawa Rumah Putih telah melangkaui kuasa mereka dan mencetuskan ketegangan lanjut.

“Keputusan ini mencabar kuasa yang dimiliki pemerintah negeri dan telah memicu lebih banyak keganasan,” kata Cik Bass.

Selain Los Angeles, bantahan turut tercetus di bandar besar seperti New York, Chicago, dan Atlanta, tempat ramai penduduk menentang dasar imigresen yang ketat.

Pada malam 10 Jun, ribuan penunjuk perasaan turut berarak di jalanan sambil melaungkan slogan anti-ICE (Jabatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam Amerika).

Ketegangan itu semakin memuncak apabila beberapa kejadian pertembungan dengan pihak berkuasa dilaporkan.

Namun, bagi Datuk Bandar Huntington Park, Encik Arturo Flores, yang merupakan bekas Marin yang berkhidmat di Iraq dan Afghanistan, tindakan tentera itu tidak wajar.

“Apabila kita mengangkat tangan dan bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan, itu adalah sumpah kita kepada rakyat Amerika, bukan kepada seorang diktator atau presiden,” ujar Encik Flores.

Sebagai tindak balas terhadap keganasan dan kekacauan yang berlaku sepanjang bantahan, Cik Bass mengisytiharkan darurat tempatan dan melaksanakan perintah berkurung dari 8 malam hingga 6 pagi di kawasan seluas 2.5 kilometer persegi di pusat bandar Los Angeles.

Langkah itu diambil bagi mengelak lebih banyak kekacauan, seperti yang berlaku pada malam 9 Jun, apabila 23 premis perniagaan dirompak.

Lebih 190 individu ditahan pada malam 10 Jun, menjadikan jumlah tangkapan melebihi 370 orang sejak hujung minggu lalu.

Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) turut membuat lebih 400 tangkapan sejak 6 Jun, dengan sebahagian besar ekoran kegagalan untuk bersurai dan pelanggaran perintah berkurung.

Walaupun ketegangan semakin meningkat, pihak berkuasa Los Angeles berkata keadaan kini lebih terkawal.

Kegiatan harian seperti persekolahan dan pelancongan telah kembali berjalan seperti biasa di kebanyakan kawasan di bandar raya itu.

Bagaimanapun, bantahan dijangka terus berlarutan pada 14 Jun apabila lebih 1,800 demonstrasi menentang Encik Trump dirancang untuk diadakan di seluruh negara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg