WASHINGTON: Perselisihan politik berkaitan rancangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mahu ‘membanteras jenayah’ dan pendatang haram di Chicago semakin meningkat pada 31 Ogos.
Ketegangan itu berlaku apabila pegawai tertinggi pentadbiran Encik Trump berjanji menempatkan lebih ramai pegawai persekutuan, namun Gabenor Demokrat Illinois menyifatkan Encik Trump sebagai ancaman kepada demokrasi.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Cik Kristi Noem, berkata operasi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam di Chicago dan bahagian lain di negara itu akan diperkukuh, tetapi enggan memberikan butiran.
Beliau berkata Encik Trump akan membuat keputusan untuk mengerah tentera Pengawal Kebangsaan kelak.
Gabenor Illinois, Encik J.B. Pritzker berkata Encik Trump mahu mengerahkan tentera supaya beliau boleh menghentikan atau memanipulasi pilihan raya separuh penggal Amerika pada 2026.
“Beliau ingin menghentikan pilihan raya pada 2026 atau, secara terus terang, mengawal pilihan raya itu.
“Beliau akan mendakwa terdapat beberapa masalah dengan pilihan raya, dan kemudian mengerah tentera di lapangan untuk mengawalnya,” kata Encik Pritzker.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Abigail Jackson, mengkritik Encik Pritzker kerana tidak berbuat lebih banyak untuk menangani jenayah.
“Penduduk Chicago akan menjadi lebih selamat jika Encik Pritzker benar-benar menjalankan tugasnya dan menangani masalah jenayah daripada cuba menjadi wira,” kata Cik Jackson dalam satu kenyataan.
Encik Trump dan pegawai tingginya berkata pada minggu lalu bahawa Chicago tidak lama lagi akan menjadi sasaran usahanya untuk menangani jenayah dan pendatang haram.
Encik Trump selama bertahun-tahun telah mengkritik masalah jenayah di Chicago, kubu kuat Demokrat, walaupun perangkaan menunjukkan kebanyakan kategori jenayah kekerasan telah berkurangan pada 2025.
Terdahulu pada Ogos, Encik Trump memulakan kempen keselamatan awam yang agresif di Washington, DC, dengan mengerahkan anggota Pengawal Kebangsaan, meronda jalan raya dengan pegawai persekutuan dan polis.
Langkah itu telah menyebabkan penolakan politik daripada masyarakat di Washington DC.
Mayor Bandar Chicago, Encik Brandon Johnson, seorang Demokrat, mengeluarkan perintah eksekutif pada 30 Ogos yang menyatakan polis tempatan tidak akan membantu Pengawal Kebangsaan atau operasi persekutuan lain. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg