WASHINGTON: Tentera Pengawal Kebangsaan Amerika Syarikat kini membawa senjata ketika meronda di kawasan Washington mulai malam 24 Ogos sebagai sebahagian tindakan tegas Presiden Donald Trump bagi membanteras jenayah.
Mereka membawa senjata pistol M17 atau senapang M4, menurut pegawai yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Ratusan tentera Pengawal Kebangsaan yang tidak bersenjata telah berada di kawasan Washington sejak dua minggu lalu selepas Encik Trump mengisytiharkan darurat jenayah di kawasan itu.
Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, minggu lalu memberi kuasa kepada tentera untuk membawa senjata.
Pasukan Petugas Bersama Pengawal Washington D.C. berkata dalam satu kenyataan pada 24 Ogos bahawa anggotanya akan menggunakan kekerasan hanya “sebagai pilihan terakhir dan semata-mata sebagai tindak balas kepada ancaman maut atau kecederaan serius”.
Encik Trump berkata bahawa beliau mungkin akan memperluaskan tindakan tegasnya ke Chicago dan di bandar lain yang ditadbir oleh parti Demokrat.
Pada 24 Ogos, beliau mencadangkan kemungkinan mengerahkan tentera ke Baltimore yang dikendalikan oleh Demokrat di Maryland.
Ketua Minoriti Dewan Perwakilan Demokrat, Encik Hakeem Jeffries, berkata pada 24 Ogos bahawa Encik Trump tidak mempunyai kuasa untuk mengerahkan tentera ke Chicago sedang Pentagon membuat perancangan awal bagi tugas sedemikian.
Seorang pegawai berkata rancangan Pentagon itu adalah sebahagian daripada usaha pihak tentera untuk menjangka sebarang permintaan oleh Encik Trump dan menyatakan pegawai kanan Pentagon masih belum diberi taklimat mengenainya.
Ini bukan perkara biasa bagi Pentagon untuk merancang penempatan tentera sebelum permintaan rasmi dibuat.
Encik Jeffries berkata sebarang langkah untuk mengerahkan tentera ke Chicago adalah percubaan Encik Trump untuk mencipta krisis. Kes jenayah, termasuk pembunuhan, telah merosot di Chicago pada 2024.
“Tiada asas, tiada kuasa untuk Encik Trump mengerah tentera persekutuan ke bandar Chicago,” kata Encik Jeffries kepada media pada 24 Ogos.
Beliau memetik komen yang dibuat oleh Encik J.B. Pritzker, gabenor Demokrat Illinois, yang merangkumi bandar Chicago, berkata tidak ada kecemasan yang mewajibkan penempatan Pengawal Kebangsaan atau tentera lain.
Menjawab kritikan terhadap Gabenor Maryland daripada Parti Demokrat, Encik Wes Moore, mengenai tahap jenayah di Baltimore, Encik Trump berkata beliau bersedia untuk mengerahkan tentera di sana juga.
Pada Julai, jabatan polis Baltimore berkata terdapat pengurangan dua angka dalam keganasan senjata api berbanding pada 2024.
Bandar tersebut merekodkan 84 kes pembunuhan setakat ini pada 2025 – paling sedikit dalam lebih 50 tahun, menurut datuk bandar Baltimore.
“Jika Wes Moore memerlukan bantuan... saya akan menghantar ‘tentera’, seperti yang sedang dilakukan di Washington, dan segera membanteras jenayah di situ,” kata Encik Trump di platform Truth Socialnya pada 24 Ogos. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg