Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PERGOLAKAN DI SRI LANKA

Ranil Wickremesinghe dipilih sebagai presiden baru

Tegaskan 'perpecahan sudah berakhir'; namun pemilihannya dibimbangi cetus lebih banyak bantahan
Jul 21, 2022 | 05:30 AM



COLOMBO: Perdana Menteri Sri Lanka sebanyak enam kali, Encik Ranil Wickremesinghe, 73 tahun, semalam dipilih anggota parlimen (AP) negara itu dengan majoriti mutlak sebagai presiden barunya, menggantikan Encik Gotabaya Rajapaksa yang melarikan diri dari negara yang dilanda krisis itu dan meletak jawatan minggu lalu.



Keputusan rasmi menunjukkan Encik Wickremesinghe memperoleh 134 undi dalam undian Parlimen tiga penjuru, dengan lawan utamanya, Encik Dullas Alahapperuma, mendapat 82 undi, dan Encik Anura Dissanayake, yang berhaluan kiri, hanya tiga undi.



Ini sekali gus memberi Encik Wickremesinghe majoriti mutlak.



"Ranil Wickremesinghe telah dipilih sebagai presiden eksekutif kelapan di bawah Perlembagaan," kata setiausaha agung Parlimen selepas pengiraan selesai.



Pemimpin itu menyifatkan kemenangannya sebagai "satu penghormatan dan "keistimewaan", semasa berucap di Parlimen sejurus selepas keputusan diumum.



"Perpecahan kita kini sudah berakhir," kata Encik Wickremesinghe dalam ucapan penerimaan ringkas di Parlimen, dan mengundang Encik Alahapperuma menyertainya dan bekerjasama untuk membawa negara itu keluar daripada krisis yang dihadapi.



Beliau berharap dapat mengangkat sumpah sebagai presiden lewat semalam dalam satu majlis ringkas di bangunan Parlimen yang dikawal ketat.



Dengan pelantikan beliau ke jawatan tertinggi, Kabinet sedia ada secara automatik terbubar dan beliau akan memilih perdana menteri untuk membentuk Kabinet baru.



Speaker Parlimen, Encik Mahinda Abeywardana, berkata perhatian dunia tertumpu pada badan perundangan Sri Lanka itu kerana ia memilih pemimpin untuk memenuhi baki penggal Encik Rajapaksa, yang berakhir pada November 2024.



"Ini adalah satu sesi bersejarah, bukan sahaja buat Parlimen bahkan seluruh negara," kata Encik Abeywardana.



"Tumpuan dunia kini pada kita hari ini sedang kita memilih presiden baru."



Kemenangan Encik Wickremesinghe, salah seorang daripada dua pesaing utama namun ditentang ramai rakyat biasa Sri Lanka, boleh membawa kepada lebih banyak bantahan oleh rakyat yang berang terhadap elit pemerintah selepas beberapa bulan mengalami kekurangan bahan tenaga, makanan dan ubat, kata beberapa penunjuk perasaan.



"Jika Ranil mendapat kuasa, kita tidak boleh mempunyai kestabilan," kata Encik Duminda Nagamuwa, yang menganjurkan bantahan di ibu kota Colombo selepas pencalonan dimuktamadkan.



Penunjuk perasaan lain berkata Encik Wickremesinghe adalah sekutu keluarga Rajapaksa yang pernah berkuasa, yang mereka persalahkan bagi krisis ekonomi pulau itu.



Ratusan anggota polis, separa tentera dan tentera dikerahkan di sekitar bangunan Parlimen dan jalan yang menujunya, dengan pihak keselamatan memasang sekurang-kurangnya tiga barisan pengadang.



Anggota keselamatan meronda di sebuah tasik di sekeliling bangunan itu menggunakan bot laju, dan jip tentera, selain kenderaan berperisai ditempatkan dalam kawasan Parlimen.



Encik Wickremesinghe menjadi pemangku presiden minggu lalu selepas Encik Rajapaksa melarikan diri ke Singapura dan kemudian mengumumkan peletakan jawatannya.



Sebelum beliau melarikan diri, penunjuk perasaan menyerbu kediaman dan pejabat rasminya. Mereka juga membakar rumah peribadi Encik Wickremesinghe dan menyerbu pejabatnya, tetapi gagal memaksanya mengundur diri.



Encik Wickremesinghe berkata awal minggu ini pada masa beliau menyertai pemerintah sebagai perdana menteri Mei lalu, ekonomi negara itu telah pun runtuh.



Rakyat Sri Lanka menyalahkan keluarga Rajapaksa - tujuh daripada anggota keluarga itu berada dalam pemerintah pada April - berhubung krisis yang melanda negara itu. - AFP, Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >