ISLAMABAD: Usaha diplomatik untuk menamatkan perang berpanjangan di Gaza memasuki fasa baru apabila Mesir kini mengusulkan gencatan senjata selama 60 hari, dengan syarat pembebasan sebahagian tebusan Israel serta kemasukan segera bantuan kemanusiaan ke wilayah yang terkepung itu.
Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty, dalam satu wawancara televisyen tempatan pada malam 29 Jun, mendedahkan cadangan itu merupakan inisiatif bersama Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat.
“Apa yang sedang dibincangkan ketika ini ialah satu gencatan senjata selama 60 hari sebagai balasan kepada pembebasan beberapa tebusan Israel dan penghantaran pantas bantuan kemanusiaan termasuk bekalan perubatan ke Gaza,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha itu adalah “langkah pertama” ke arah gencatan senjata kekal yang akhirnya akan membawa kepada pelaksanaan perjanjian 19 Januari yang sebelum ini dilanggar Israel.
“Jika Israel menyambung semula serangan selepas perjanjian dimeterai, maka merekalah punca utama ketidakstabilan di rantau ini,” tegas Encik Abdelatty, sambil menuduh Tel Aviv melanggar perjanjian gencatan yang telah dipersetujui awal 2025 ini.
Sementara itu, di pihak Hamas, pegawai kanan Encik Mahmoud Mardawi, menyatakan bahawa rundingan tidak langsung dengan Israel tidak menunjukkan kemajuan.
Menurutnya, halangan terbesar ialah “keengganan Israel menghentikan tindakan ketenteraan”.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Perisikan Turkey, Encik Ibrahim Kalin, turut mengadakan pertemuan penting dengan ketua majlis politik Hamas, Encik Mohammad Darwish, untuk membincangkan krisis kemanusiaan di Gaza dan usaha mencapai gencatan senjata.
Menurut laporan agensi berita Turkey, Anadolu, pertemuan itu berlangsung di lokasi yang dirahsiakan.
Kedua-dua pihak membincangkan keperluan mendesak untuk membenarkan bantuan kemanusiaan masuk segera ke Gaza serta langkah jangka panjang ke arah perdamaian menyeluruh.
“Turkey menekankan keperluan menyatukan kumpulan Palestin dan mengambil langkah serius ke arah gencatan senjata kekal,” ujar sumber keselamatan yang dipetik agensi berita itu.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pula menyatakan peperangan 12 hari dengan Iran yang tamat pada 24 Jun telah membuka “peluang besar” bagi memulakan proses membawa pulang tebusan yang ditahan Hamas di Gaza sejak serangan 7 Oktober 2023.
“Banyak peluang telah terbuka selepas kemenangan ini. Pertama sekali, peluang untuk menyelamatkan tebusan,” katanya semasa lawatan ke kemudahan keselamatan, Shin Bet, pada 29 Jun.
“Kami akan selesaikan isu Gaza dan kalahkan Hamas. Saya yakin kami dapat mencapai kedua-dua matlamat ini,” tambahnya.
Kenyataan itu disambut baik oleh kumpulan Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang, yang menganggap buat kali pertama, perdana menteri benar-benar meletakkan isu pembebasan tebusan sebagai keutamaan utama.
“Kami mengalu-alukan kenyataan ini. Kini, ia perlu diterjemah kepada satu perjanjian menyeluruh untuk membawa pulang semua 50 tebusan dan menamatkan konflik Gaza,” kata mereka.
Hanya 20 daripada 50 tebusan itu dipercayai masih hidup.
Presiden Amerika Donald Trump menyatakan bahawa Encik Netanyahu kini berunding secara aktif dengan Hamas, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Beliau turut mencadangkan agar perbicaraan rasuah Encik Netanyahu ditangguh atas alasan keselamatan dan keperluan diplomatik.
Mahkamah Daerah Baitulmakdis bersetuju menangguhkan perbicaraan atas “alasan keselamatan sulit”.
Encik Trump menyatakan bahawa cadangan Amerika termasuk gencatan senjata 60 hari, pembebasan separuh tebusan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin dan mayat rakyat Palestin.
Baki tebusan hanya akan dibebaskan apabila gencatan senjata kekal dimeterai.
Dalam pada itu, Hamas mengesahkan kepada agensi berita, Reuters, bahawa mereka bersedia menyambung semula rundingan gencatan senjata tetapi menegaskan syarat utama ialah pengunduran penuh Israel dari Gaza dan penamatan perang.
Israel pula menegaskan bahawa mereka hanya akan menghentikan perang jika Hamas meletak senjata dan dibubarkan, syarat yang ditolak oleh Hamas.
Sejak serangan balas Israel bermula, lebih 56,000 rakyat Palestin terbunuh dan hampir seluruh penduduk Gaza – 2.3 juta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Gaza kini berhadapan dengan krisis makanan, ubat-ubatan dan tempat perlindungan yang sangat kritikal.
Israel dilaporkan telah menghalang kemasukan makanan selama lebih dua bulan, sebelum membuka kembali laluan bantuan melalui Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang dikawal kontraktor keselamatan Amerika, dengan pengawasan tentera Israel.
Beberapa kejadian tembakan turut dilaporkan ketika penduduk cuba mendapatkan bantuan, memburukkan lagi keadaan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg