KUALA LUMPUR: Rundingan peringkat sekretariat antara Thailand dengan Kemboja secara rasmi bermula pada 4 Ogos di Kuala Lumpur sebagai persiapan bagi Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang dijadual berlangsung pada 7 Ogos.
Mesyuarat itu adalah lanjutan kepada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Putrajaya pada 28 Julai lalu hasil daya usaha Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rundingan kali ini penting kerana ia merupakan pertemuan dua hala pertama secara bersemuka sejak konflik sempadan tercetus semula pada Mei lalu.
Ia turut mempertemukan Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit, dan rakan sejawatannya dari Kemboja, Jeneral Tea Seiha.
“Mesyuarat GBC ini adalah satu langkah ke hadapan dalam mengekalkan hubungan diplomatik yang membina dan menyelesaikan isu sempadan yang telah berlarutan lebih seabad,” kata jurucakap Kementerian Luar Thailand, Encik Nikorndej Balankura.
Menurut Pusat Ad Hoc Situasi Sempadan Thailand-Kemboja, delegasi Thailand tiba di Malaysia pada malam 3 Ogos, dan sesi perbincangan akan berlangsung sehingga 6 Ogos.
Tentera Malaysia memainkan peranan sebagai pemudah cara sepanjang rundingan itu.
Thailand dan Kemboja telah lama terlibat dalam pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer yang memisahkan kedua-dua negara.
Ketegangan terkini bermula dengan pertempuran kecil pada 28 Mei dan memuncak menjadi konflik bersenjata pada 24 Julai.
Antara lokasi paling teruk terjejas ialah, Ban Phue, daerah Kantharalak di wilayah Sisaket, kira-kira 25 kilometer dari sempadan.
Serangan peluru berpandu, BM-21, dari Kemboja pada 24 Julai telah memusnahkan sebuah kedai serbaneka dan stesen minyak, mengorbankan tujuh orang awam.
Upacara pembakaran mayat secara bersama dengan naungan diraja diadakan di Wat Mahaputtharam, daerah Mueang, wilayah Sisaket, pada 3 Ogos sebagai penghormatan terakhir kepada mangsa.
Majlis turut dihadiri keluarga tentera yang terkorban dan pegawai kerajaan tempatan.
“Upacara ini bukan sahaja memberi penghormatan kepada yang terkorban, bahkan juga memperingatkan kita tentang perlunya rundingan damai yang sebenar,” kata seorang pegawai kanan tentera Thailand yang enggan dinamakan.
Mesyuarat GBC kali ini turut disertai oleh atase pertahanan dari negara anggota Asean pemerhati dari Amerika Syarikat dan China.
Menurut jurucakap Kerajaan Perpaduan Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil, kehadiran pemerhati antarabangsa menunjukkan pentingnya pemantauan bebas dalam menjayakan pelaksanaan gencatan senjata.
“Cadangan untuk menubuhkan pasukan pemantau serantau sedang dipertimbangkan dan akan dibincangkan secara terperinci oleh kedua-dua pihak dengan sokongan negara anggota Asean lain,” ujar beliau selepas mesyuarat Jemaah Menteri.
Menurut Panglima Angkatan Tentera Malaysia, perkembangan itu dianggap sebagai salah satu kejayaan diplomasi serantau yang pantas.
“Ini adalah antara gencatan senjata paling cepat yang berjaya dicapai – hanya tiga hari selepas konflik bersenjata tercetus,” katanya.
Konflik yang berlaku antara 24 dengan 28 Julai mengorbankan lebih 36 orang, termasuk anggota tentera dan orang awam, serta menyebabkan lebih 260,000 penduduk terpaksa berpindah.
Kedua-dua negara sebelum ini menganjurkan lawatan ke lapangan kepada diplomat asing bagi menunjukkan kerosakan yang didakwa dilakukan oleh pihak lawan.
“Tujuan utama lawatan diplomatik ini adalah untuk memastikan maklumat di lapangan dapat disampaikan kepada masyarakat antarabangsa secara telus,” jelas Encik Nikorndej.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pengguna media sosial dari Kemboja mendakwa serangan ke atas kawasan awam di Thailand dilakukan oleh tentera Thailand sendiri sebagai helah politik.
Kementerian Pertahanan Kemboja pula mendakwa Thailand sedang merancang operasi ketenteraan berskala besar di sempadan, satu dakwaan yang telah dinafikan keras oleh pihak tentera Thailand.
Namun, pihak keselamatan Thailand menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai taktik tekanan oleh Kemboja.
Menurut jurucakap Angkatan Tentera Diraja Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvaree, tiada perintah pemindahan dikeluarkan bagi penduduk Surin seperti yang didakwa.
“Tiada rancangan serangan, dan kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja tidak berasaskan fakta yang sah,” katanya.
Beliau turut menyangkal hantaran yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen, yang dikatakan menyebarkan berita kononnya tentera Thailand bersiap sedia untuk melancarkan serangan menjelang mesyuarat GBC. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg