Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Reaksi pemimpin dunia terhadap tarif baru AS 

Apr 3, 2025 | 10:37 AM
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menandatangani satu perintah eksekutif selepas menyampaikan ucapan mengenai tarif balas semasa satu acara bertajuk “Menjadikan Amerika Makmur Semula” yang diadakan di Taman Ros, Rumah Putih di Washington, DC, pada 2 April 2025. Trump bersedia mengumumkan tarif baharu secara besar-besaran yang dinamakan “Tarif Hari Pembebasan”, satu langkah yang dikhuatiri bakal mencetuskan perang perdagangan global yang serius. Beberapa rakan dagang utama Amerika termasuk Kesatuan Eropah dan Britain memaklumkan bahawa mereka sedang menyiapkan langkah balas terhadap peningkatan ketegangan ini, manakala pasaran saham di Eropah dan Amerika menunjukkan kejatuhan akibat keresahan pelabur.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menandatangani satu perintah eksekutif selepas menyampaikan ucapan mengenai tarif balas semasa satu acara bertajuk “Menjadikan Amerika Makmur Semula” yang diadakan di Taman Ros, Rumah Putih di Washington, DC, pada 2 April 2025. Trump bersedia mengumumkan tarif baharu secara besar-besaran yang dinamakan “Tarif Hari Pembebasan”, satu langkah yang dikhuatiri bakal mencetuskan perang perdagangan global yang serius. Beberapa rakan dagang utama Amerika termasuk Kesatuan Eropah dan Britain memaklumkan bahawa mereka sedang menyiapkan langkah balas terhadap peningkatan ketegangan ini, manakala pasaran saham di Eropah dan Amerika menunjukkan kejatuhan akibat keresahan pelabur. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Donald Trump menggemparkan komuniti antarabangsa apabila mengumumkan pada 2 April bahawa Amerika Syarikat akan melaksanakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua import, dengan kadar lebih tinggi ke atas beberapa negara tertentu.

Keputusan ini telah mengejutkan banyak pemimpin dunia, apatah lagi ia memberi kesan langsung kepada hubungan perdagangan dengan rakan dagang utama Amerika termasuk Kesatuan Eropah, Jepun, Korea Selatan, Vietnam dan Taiwan.

Dalam pengumuman tersebut, Encik Trump menyatakan bahawa sesetengah negara akan dikenakan tarif balas lebih berat. Import dari Vietnam bakal dikenakan tarif setinggi 46 peratus manakala produk dari Taiwan akan dikenakan 32 peratus. Import dari Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Korea Selatan pula akan dikenakan kadar tarif melebihi 20 peratus.

Langkah ini telah mencetuskan pelbagai reaksi antarabangsa — ada yang memilih untuk berhati-hati, dan ada yang menentang secara terbuka. Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney, menyatakan bahawa negaranya akan bertindak balas dengan langkah balas yang tegas. “Kami akan melindungi para pekerja kami. Dalam krisis seperti ini, penting untuk kita bersatu dan bertindak dengan tujuan dan kekuatan,” katanya.

Presiden Mexico, Cik Claudia Sheinbaum, menyatakan bahawa negaranya tidak akan bertindak balas secara langsung terhadap tarif, sebaliknya akan melaksanakan program ekonomi menyeluruh. “Kami akan mengukuhkan ekonomi negara dalam apa jua keadaan,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Reuters.

Di United Kingdom (UK), Perdana Menteri Keir Starmer, yang baru-baru ini bertemu Encik Trump di Rumah Putih, menegaskan bahawa tindakan balas segera bukanlah penyelesaian terbaik. Kerajaan UK dalam satu kenyataan menyebut bahawa mereka “mengambil pendekatan yang tenang dan pragmatik”, dan memilih untuk tidak mengambil langkah balas pada masa ini.

Namun, Perdana Menteri Australia Encik Anthony Albanese lantang mengkritik langkah Encik Trump. “Tarif ini tidak berasaskan logik dan bukan tindakan yang mencerminkan persahabatan. Ia benar-benar tidak wajar,” katanya tegas.

Di Jepun, Gabenor Bank Jepun Encik Kazuo Ueda memberi amaran bahawa langkah tersebut boleh memberi kesan besar kepada aktiviti perdagangan global. “Ketidakpastian kini tinggi. Kami akan memantau perkembangan dasar ini dengan teliti untuk menilai kesan ekonomi secara lebih tepat,” katanya kepada Japan Times.

Perdana Menteri Sepanyol Encik Pedro Sanchez pula menyuarakan pendirian tegas Eropah. “Eropah akan mempertahankan dirinya. Kami akan bertindak dengan pantas, seimbang dan bersatu,” katanya.

Perdana Menteri Ireland Encik Micheal Martin menyifatkan tarif ke atas EU sebagai “sangat dikesali” dan menegaskan bahawa “tarif tidak menguntungkan sesiapa pun. Keutamaan saya adalah untuk melindungi pekerjaan dan ekonomi Ireland.”

Perdana Menteri Italy Cik Giorgia Meloni, yang dikenali sebagai sekutu rapat Encik Trump, turut memberi reaksi berhati-hati. “Saya anggap tarif ini sebagai pendekatan yang salah. Kami akan berusaha sedaya mungkin untuk mencapai persetujuan dengan Amerika Syarikat dan mengelakkan perang perdagangan yang hanya akan melemahkan Barat dan menguntungkan pihak lain,” katanya.

Presiden Switzerland Cik Karin Keller-Sutter pula menekankan bahawa negara itu akan mempertimbangkan tindakan seterusnya berdasarkan kepentingan ekonomi jangka panjang. Penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan perdagangan bebas adalah asas utama,” jelas beliau.

“Persahabatan bermaksud perkongsian. Dan perkongsian bermakna tarif yang benar-benar adil dan saling menguntungkan,” tegas Perdana Menteri Poland, Encik Donald Tusk, mengulas ringkas di media sosial.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg