Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja Britain hilang setelah senyap-senyap ke M’sia

Jul 9, 2025 | 11:35 AM
David Balisong, 17 tahun, seorang remaja Britain dilaporkan hilang oleh keluarganya dan dipercayai telah ke Malaysia secara senyap-senyap pada Jun lalu dan sehingga kini tidak dapat dihubungi.
David Balisong, 17 tahun, seorang remaja Britain dilaporkan hilang oleh keluarganya dan dipercayai telah ke Malaysia secara senyap-senyap pada Jun lalu dan sehingga kini tidak dapat dihubungi. - Foto Tangkap layar dari GOFUNDME

KUALA LUMPUR: Seorang remaja Britain berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang oleh keluarganya dipercayai telah ke Malaysia secara senyap-senyap pada Jun lalu dan sehingga kini tidak dapat dihubungi.

David Balisong, dari Cheadle, Greater Manchester, telah memberitahu adiknya pada 6 Jun bahawa dia akan keluar rumah awal untuk ke sekolah, di mana dia sedang menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘A’.

Pada hari yang sama, dia menaiki penerbangan sehala ke Kuala Lumpur tanpa memaklumkan sesiapa, lapor Daily Mail.

Keluarga remaja itu hanya menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila dia tidak pulang ke rumah petang tersebut.

Mereka mendapat tahu David telah mengambil pasportnya.

Keesokan hari, polis England mengesahkan bahawa David telah berlepas seorang diri dari Lapangan Terbang Manchester dan telah diberikan visa 90 hari sebaik tiba di Malaysia.

Ibunya, Cik Minerva, 50 tahun, seorang jururawat penjagaan kritikal, berkata keluarganya merasa hancur dan berpegang pada harapan David dalam keadaan selamat.

“Perasaan kami terasa seperti tsunami. Kami tidak pernah menjangkakan perkara ini berlaku. Kami bangun dari tidur dan anak kami tiada,” katanya.

“Kami tidak marah kepadanya - kami menyayanginya dan peduli terhadapnya lebih daripada yang dia tahu. Kami hanya mahu tahu dia selamat.”

David, seorang pelajar sains komputer di Universiti Manchester, dilaporkan telah mematikan telefonnya dan tidak membalas emel.

Dia hanya mempunyai £1,200 ($2,086) dalam akaun banknya ketika dia meninggalkan Britain.

Dilahirkan di Britain kepada ibu bapa Filipina, David tidak mempunyai hubungan yang diketahui dengan Malaysia.

Cik Minerva berkata seluruh keluarganya - suaminya Encik Lorenzo, 55 tahun, dan dua lagi anak mereka, Faith, 16 tahun, dan Daniel, 13 tahun - masih dalam keadaan tidak percaya.

“Dia sihat dan gembira, dan tiada apa yang tampak tidak kena. Dia seorang pelajar yang ideal, seorang anak yang ideal. Semua orang terkejut — dia seorang yang selalu pulang ke rumah.

“Apabila dia keluar, dia akan meminta izin dan memaklumkan kepada kami maklumat terkini keberadaannya,” kata beliau, sambil menambah David mungkin mengalami tekanan daripada peperiksaannya tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda tertekan.

Keluarga itu telah melancarkan rayuan GoFundMe untuk membantu mengumpul dana untuk perjalanan dan penginapan di Kuala Lumpur bagi membantu dalam pencarian anak mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg