MELAKA: Gara-gara mencari lembu yang hilang, seorang remaja lelaki dilaporkan sesat di kawasan Kampung Permatang Pasir, di sini pada Rabu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa berusia 15 tahun itu dilakukan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 11.54 malam.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, remaja terbabit dipercayai sesat selepas keluar mencari lembu sejak petang hari yang sama sebelum beliau dilaporkan hilang.
“Komander Operasi Pegawai yang tiba di lokasi sejurus menerima aduan memaklumkan bahawa benar berlaku kehilangan seorang remaja lelaki dipercayai sesat ketika keluar mencari lembu.
“Operasi itu diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Akhbar Abdol Karim dan dibantu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang (BBP) Temu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, operasi pencarian yang dilakukan di sekitar kawasan kandang lembu turut dibantu oleh pasukan polis dan orang awam sehingga 1.35 pagi sebelum disambung pada 7 pagi ini.
Difahamkan sehingga kini, operasi pencarian mangsa masih diteruskan sejak awal pagi tadi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg