GAZA: Dengan menggunakan dua kipas yang diambilnya dari tempat besi buruk dan diikat pada beberapa wayar, remaja, Hussam Al-Attar, telah mencipta sumber elektriknya sendiri untuk menerangi khemah tempat dia dan keluarganya berteduh selepas rumah mereka musnah akibat serangan Israel ke atas Gaza.
Sebagai mengiktiraf kepintarannya, para penduduk yang berlindung di khemah-khemah sekitarnya telah memberinya julukan ‘Newton Gaza’.
“Mereka mula memanggil saya Newton Gaza kerana adanya persamaan antara saya dengan Newton,” kata Hussam, yang berusia 15 tahun.
“Newton sedang duduk di bawah pokok epal apabila epal jatuh di atas kepalanya, beliau menemui kuasa graviti. Dan kita di sini hidup dalam kegelapan dan tragedi, dan roket jatuh ke atas kita, oleh itu saya terfikir untuk mencipta cahaya,” tambahnya.
Saintis Inggeris, mendiang Isaac Newton, yang membuat kemajuan besar dalam bidang fizik, matematik dan astronomi pada akhir abad ke-17 dan awal abad ke-18, menonjol dalam imaginasi popular kerana kisah buah epal.
Keluarga Hussam telah memasang khemah mereka di runtuhan rumah satu tingkat, membolehkan anak muda itu naik ke atas bumbung dan memasang dua kipasnya yang bertindak sebagai turbin angin kecil yang mampu mengecas bateri.
Dia kemudian menyambung kipas ke wayar dan memasang suis untuk menyalakan atau menutup lampu.
Menurut Hussam, dua percubaan pertamanya gagal dan dia terpaksa mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan alat itu sehingga berjaya pada percubaan ketiga.
“Saya sangat gembira kerana saya dapat melakukan sesuatu, sekali gus meringankan penderitaan keluarga saya, ibu saya, ayah saya yang sakit, dan adik-adik saya yang masih kecil,” kata Hussam, yang bercita-cita untuk menjadi saintis. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg