Subuh
5:58
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:32
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

ANALISIS BERITA

Covid-19: Sudah 'terbuka', tetapi rakyat M'sia perlu terus berhati-hati

Oct 23, 2021 | 05:30 AM



MALAYSIA telah mencapai salah satu sasaran utamanya dalam menangani penularan koronavirus Covid- 19 - lebih 90 peratus penduduk dewasanya telah mendapat vaksinasi sepenuhnya.



Ekoran pencapaian itu dan sejak 11 Oktober lalu, sekatan pergerakan dilonggarkan dengan lebih banyak kegiatan sosial dan ekonomi dibenarkan, termasuk merentas negeri, pelancongan tempatan dan sebagainya, khususnya bagi mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya.



Malah, golongan itu juga boleh melancong ke luar negara.



Langkah itu disambut baik rakyat Malaysia yang sudah lama 'terperuk di rumah' selain memberi suntikan segar kepada ekonomi negara itu yang terjejas dek wabak Covid-19.



Angka kes jangkitan harian di Malaysia juga merosot, daripada lebih 20,000 pada Ogos, kepada di bawah 8,000 sejak satu dua minggu lalu.



Apakah langkah selanjutnya bagi negara Asia Tenggara itu? Bagaimana ia dapat terus mengurangkan jangkitan harian sedang ia mula membuka semula negara itu, dengan varian Delta yang mudah berjangkit masih wujud dalam kalangan masyarakat?



Penganalisis menyatakan selain pihak kerajaan, orang ramai juga memainkan peranan penting, khususnya dalam mematuhi langkah menjaga jarak sosial dan memakai pelitup semasa berada di luar rumah.



Pulihkan Ekonomi



Faktor lain juga perlu diberi perhatian untuk melihat kemajuan berterusan lagi nyata dalam menangani dwicabaran penularan Covid-19 dan pemulihan ekonomi.



Profesor Lee Kuok Tiung, dari Universiti Malaysia Sabah, berkata selain rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP), tumpuan harus diberi kepada pemulihan ekonomi, termasuk dalam sektor pelancongan tempatan.



"Apabila sektor pelancongan pulih, keseluruhan rantaian ekonomi yang bersangkutan seperti sektor makanan/restoran, hotel, pengangkutan akan turut sama merasai limpahan ekonominya.



"Ini sekali gus membantu mewujudkan serta memulihkan peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya kepada Berita Harian (BH).



Kesan "Pandemik Bayangan"



Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, dari Universiti Sains Malaysia, pula berkata selain pandemik fizikal, turut berlaku adalah apa yang dipanggil "shadow pandemic" atau "pandemik bayangan" yang digunakan ahli sains sosial untuk menggambarkan gejala mental dan kejiwaan yang mengiringi pandemik fizikal itu.



"Ini antaranya akibat sekatan pergerakan ketat yang berpanjangan sehingga menghalakan mangsa kepada kemurungan dan kemungkinan pembunuhan diri kerana tekanan hidup. Kes ini berlaku di Malaysia, tetapi tidak dibincangkan secara terbuka dalam masyarakat.



"Yang dikhuatiri, kesan pandemik bayangan ini mungkin lebih lama daripada pandemik fizikal. Kerajaan perlu prihatin dan bertindak cepat serta tidak mengetepikan perkara ini," katanya kepada BH.



Setelah kes jangkitan harian berkurangan, perkara yang dibimbangi adalah sikap rakyat yang mungkin kurang peka dalam memerangi pandemik itu yang telah menelan jiwa lebih 28,000 orang di Malaysia.



'Hidup Dengan Virus'



Ramai mungkin tidak lagi mematuhi SOP apabila bertemu dengan keluarga dan sahabat-handai yang sudah lama tidak ditemui.



Profesor Lee berkata orang ramai tidak harus lupa bahawa pandemik Covid-19 kini hanya bertukar kepada endemik, bermakna penduduk negara itu masih perlu hidup dengan virus yang masih ada dalam masyarakat.



"Semua rakyat Malaysia harus sentiasa peka dan mematuhi SOP serta norma baru seperti jarak sosial dan memakai pelitup," ujarnya.



"Satu perkara menggalakkan adalah pihak hospital kini tampak lebih bersedia menangani kes Covid-19 berbanding pada awal penularan.



"Saya yakin pihak doktor, jururawat dan pekerja penjagaan kesihatan lain kini lebih berpengalaman menghadapi apa jua gelombang penularan yang berlaku pada masa depan," tambahnya.



Isu Antivaksin



Kedua-dua Profesor Lee dan Profesor Ahmad Fauzi juga menyentuh tentang wujudnya kumpulan antivaksin yang menjadi isu kontroversial di negara itu.



Profesor Lee berkata golongan itu harus menyedari vaksin adalah demi kebaikan mereka sendiri dan keluarga, selain mereka perlu sedia menerima layanan yang mungkin tidak sama dari aspek sekatan perjalanan dan kemasukan ke beberapa tempat.



Profesor Ahmad Fauzi berkata jurang antara majoriti mereka yang mendapat vaksin dengan 10 peratus penduduk yang enggan berbuat demikian tidak harus dilebarkan.



Justeru, katanya, tidak harus ada kenyataan mengancam, termasuk daripada pihak kerajaan mahupun kumpulan lain terhadap kumpulan yang enggan divaksin ini.



Beliau menambah, kerajaan Malaysia harus berusaha mengurangkan jurang dua golongan ini dengan tindakan penuh tanggungjawab, kasih sayang dan kesabaran, sejajar matlamat kerajaan baru Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengalunkan slogan 'Keluarga Malaysia' - dengan bertindak membantu urusan rakyat tanpa meragut hak asasi mereka sebagai warga.



Kes jangkitan di Malaysia yang semakin baik memberi harapan bahawa pandemik Covid-19 akhirnya dapat dikawal, jika tidak dihapuskan.



Namun, seperti yang disaksikan di sebilangan negara lain, angka jangkitan boleh meningkat lagi jika orang ramai mula ingkar akan langkah pengurusan selamat.



Setelah terpaksa berkorban lebih satu tahun setengah, adalah berbaloi untuk terus berhati-hati sedang Malaysia membuka semula negara itu, dengan Covid-19 masih tetap ada.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >