Republikan jadikan syariah sebagai tumpuan kempen pilihan raya di Texas
Republikan jadikan syariah sebagai tumpuan kempen pilihan raya di Texas
HOUSTON (Texas): Seperti rakyat Amerika Syarikat di tempat lain, penduduk Texas tidak berpuas hati dengan kos sara hidup yang tinggi.
Kemampuan akan menjadi penentu dalam pilihan raya pada pertengahan penggal 3 November, yang akan menentukan sama ada Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump akan terus menguasai Kongres untuk baki penggalnya, kata penganalisis.
Tetapi isu-isu penting itu bukanlah perkara utama dalam iklan kempen menerusi televisyen menjelang pertandingan pencalonan Republikan negeri itu, yang dikenali sebagai pilihan raya utama parti, pada 3 Mac.
Sebaliknya, isu hangat dalam pertandingan ini ialah syariah, atau undang-undang Islam, lapor The Straits Times.
Isu itu kelihatan tidak sesuai di negeri terbesar di Amerika dengan hanya kurang dua peratus atau 300,000 penduduk adalah penganut Islam.
Namun, inilah mesej yang bergema dalam arena politik yang mengutamakan ideologi daripada segalanya.
Nampaknya, pilihan lebih selamat adalah dengan berjanji untuk menentang penyebaran Islam di Texas dan menggerakkan pengundi supaya mempertahankan nilai-nilai, budaya dan keselamatan awam Amerika.
Salah satu pertarungan paling kontroversi tahun ini adalah untuk kerusi Senat yang menyaksikan dua anggota Republikan mencabar senator empat penggal Encik John Cornyn.
Tinjauan pendapat menunjukkan persamaan antara Encik Ken Paxton, Peguam Negara Texas, dan Encik Wesley Hunt, seorang anggota Republikan kulit hitam pertama yang mewakili Texas di Dewan Perwakilan.
Perlumbaan yang sengit telah membawa kepada ramalan bahawa tiada siapa yang akan menang pilihan raya pada Mac.
Ini bermakna calon yang paling dekat dengan pusat parti - dan dianggap sebagai paling sayap kanan akan menang.
Ini boleh menjelaskan semangat baru-baru ini yang dilihat sebagai lebih tegas terhadap syariah.
Encik Hunt, yang menggelarkan syariah sebagai tidak serasi dengan nilai-nilai Amerika, telah mengejek Senator Cornyn sebagai “Syriah John” kerana kerana menghadiri acara berbuka puasa pada Ramadan.
Encik Cornyn, yang diserang kerana membantu rakyat Afghanistan mendapatkan visa susulan pengambilalihan Taliban selepas pengunduran Amerika pada 2021, mengeluarkan iklan televisyen yang menyifatkan Islam radikal sebagai “ideologi dahagakan darah” seperti dalam serangan di Bondi Beach, Australia pada 14 Disember 2025, dan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Politik syariah juga mewarnai perlumbaan bagi jawatan . Gabenor Texas yang disandang Encik Greg Abbott.
Beliau yang bertanding untuk penggal keempatnya, mengarahkan siasatan pada November 2025 terhadap “kemungkinan pelanggaran jenayah oleh tribunal syariah.
Namun, media Texas melaporkan bahawa sasarannya adalah sebuah firma timbang tara di Dallas yang dipanggil “Tribunal Islam”, yang menawarkan pengantaraan berdasarkan prinsip Islam dalam pertikaian seperti perceraian.
Firma itu menyerahkan kes-kes sedemikian kepada mahkamah Texas untuk penguatkuasaan, katanya.
Encik Abbott juga menetapkan Ikhwanul Muslimin dan Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), salah satu kumpulan hak sivil dan advokasi Islam terbesar di Amerika, sebagai organisasi pengganas asing.
CAIR, yang telah menyaman Encik Abbott, menyifatkan tindakannya sebagai remeh, bermotifkan politik, dan anti-Islam.
Leftenan Gabenor Texas, Encik Dan Patrick, yang juga bertanding untuk dipilih semula, telah menyenaraikan “mencegah undang-undang syariah di Texas” sebagai keutamaan dalam sesi perundangan bermula pada Januari 2027.
Anggota Kongres Encik Chip Roy, telah berikrar untuk menghentikan “Islamifikasi Texas” jika dipilih sebagai peguam negara bagi negeri itu seterusnya.
Penentangnya, Encik Aaron Reitz telah berikrar untuk membalikkan apa yang beliau sebut sebagai “pencerobohan” syariah.
“Ahli politik telah mengimport berjuta-juta orang Islam ke negara kita,” kata Encik Reitz sambil menambah ia telah membawa “lebih banyak keganasan dan jenayah”, serta usaha untuk melaksanakan syariah di Texas.
Mereka juga menyasarkan pembangunan kediaman komuniti syariah eksklusif di Texas Utara, lantas telah mendorong Encik Abott menggubal undang-undang melarang pembangunan sedemikian pada September 2025.
Dua anggota Republikan Texas, Encik Roy dan Encik Keith Self, turut melancarkan “Gerakan Amerika Bebas Syariah”.
Sejak itu, 33 anggota Kongres daripada 18 negeri telah menyertai gerakan tersebut.
Di Texas, kempen anti-syariah telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Islam, yang mendakwa ahli politik menimbulkan ketakutan yang tidak berasas.
“Kami mengambil panduan daripada syariah dalam hal peribadi seperti perceraian atau hak penjagaan anak,” kata Cik Razia Shah, seorang guru sekolah di pinggir bandar Houston yang mempunyai komuniti Muslim Asia yang besar.

