WASHINGTON: Calon Republikan, Encik Donald Trump kini dilaporkan semakin hampir menuju ke Rumah Putih buat kali kedua sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-47.
Menurut unjuran Reuters, Encik Trump memperoleh 243 undi elektoral, mendahului pencabarnya dari Parti Demokrat, Cik Kamala Harris, yang setakat ini hanya memperoleh 194 undi. Encik Trump hanya memerlukan 270 undi untuk mengesahkan kemenangannya.
Dengan dua negeri ‘medan tempur’ utama, iaitu Carolina Utara dan Georgia, telah berjaya dimenangi oleh Encik Trump, peluang bekas Presiden Amerika itu semakin cerah. Carolina Utara dan Georgia, masing-masing mempunyai 16 undi elektoral, memberikan kelebihan besar kepada Trump.
Masih terdapat lima negeri kritikal yang sedang dalam proses pengiraan undi, iaitu Pennsylvania (19 undi), Michigan (15), Arizona (11), Wisconsin (10), dan Nevada (6), yang dijangka akan menentukan keputusan akhir.
Keputusan setakat ini turut memberi kelebihan kepada Parti Republikan, yang bukan sahaja berjaya mengekalkan penguasaan mereka di Dewan Senat tetapi juga merampas beberapa kerusi dari Demokrat. Keadaan ini sekali gus menafikan dominasi Demokrat di Kongres yang dipegang dengan majoriti tipis sebelum ini.
Jurucakap kem Trump, Encik ason Miller, menggambarkan suasana kempen parti itu sebagai “sangat positif” dan menzahirkan keyakinan tinggi dalam kalangan penyokong mereka. Sementara itu, kem Harris telah mengumumkan bahawa Naib Presiden Amerika Syarikat itu mungkin tidak akan berucap di majlis kempen yang dijadualkan di Washington DC berikutan perkembangan terkini.
Walaupun tinjauan sebelum ini meramalkan perlumbaan yang sengit, sokongan kukuh terhadap Encik Trump dalam kalangan pengundi Republikan telah memberikannya kelebihan.
Encik Trump nampaknya berada dalam kedudukan yang baik untuk memenangi kebanyakan negeri ‘medan tempur’ ini, sekali gus membalikkan kekalahan dalam pilihan raya 2020 dan mengekalkan kedudukannya di Rumah Putih.
Jika trend ini berterusan, kemenangan Trump bakal membawa era baharu dalam politik AS dan mencetuskan perdebatan hangat mengenai dasar-dasar serta hala tuju masa depan negara itu. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg