Topik diikuti
Pergi ke BHkuRiau kehilangan gajah Sumatera pelindung konflik manusia-haiwan
Riau kehilangan gajah Sumatera pelindung konflik manusia-haiwan
Riau kehilangan gajah Sumatera pelindung konflik manusia-haiwan
PEKANBARU: Indonesia kehilangan seekor gajah Sumatera jinak yang selama ini memainkan peranan penting melindungi kawasan Taman Nasional Tesso Nilo (TNTN) di Riau selepas haiwan itu ditemukan mati pada awal pagi 29 Jun.
Gajah jantan bernama Indro yang berusia 45 tahun itu digunakan pasukan renjer hutan bagi membantu mengawal konflik antara manusia dengan gajah liar di sekitar kawasan hutan Tesso Nilo.
Ketua TNTN, Encik Heru Sutmantoro, berkata Indro mati di Kem Gajah ‘Flying Squad’ di Lubuk Kembang Bunga, daerah Pelalawan kira-kira 3.45 pagi.
“Indro adalah sebahagian daripada pasukan ‘Flying Squad’ yang diuruskan TNTN,” katanya.
“Sepanjang hidupnya, Indro memainkan peranan penting dalam mengurangkan konflik antara gajah liar dengan manusia yang sering berlaku di sekitar kawasan hutan Tesso Nilo,” tambah beliau.
Menurut beliau, pasukan perubatan veterinar sudah berusaha memberikan rawatan intensif selepas Indro mengalami komplikasi kesihatan sejak memasuki fasa peningkatan hormon agresif pada 25 April lalu.
Fasa itu adalah keadaan hormon testosteron meningkat mendadak pada gajah jantan sehingga menyebabkan haiwan itu menjadi agresif dan sukar dikawal.
Keadaan Indro menjadi semakin ganas pada awal Jun sehingga tidak lagi memberi respons kepada arahan penjaganya.
“Penjaga juga tidak dapat menghampiri Indro kerana keadaan itu membahayakan mereka,” kata Encik Heru.
Beliau berkata tempoh peningkatan hormon agresif yang dialami Indro lebih lama daripada biasa, menyebabkan pasukan veterinar terpaksa menenangkannya menggunakan ubat pelali dan memasang rantai keselamatan pada 24 Jun lalu.
Selepas diberi penawar untuk memulihkan kesedaran, Indro kembali berdiri dalam keadaan stabil tetapi mula hilang selera makan.
Pasukan penjaga kemudian memberi makanan tambahan tenaga serta memantau suhu badan dan keadaan najisnya secara berterusan.
“Pasukan memantau Indro sepanjang masa dan menyelaras dengan doktor veterinar untuk memberikan rawatan terbaik,” katanya.
Menurut Encik Heru, penjaga ‘Flying Squad’ turut menyediakan batang pisang, pelepah kelapa dan rumput gajah serta memastikan Indro mendapat bekalan air mencukupi setiap pagi dan petang.
Keadaan Indro dilaporkan menunjukkan sedikit peningkatan sehari kemudian apabila haiwan itu mula minum air dan cuba menyentuh makanan.
Pasukan perubatan turut meningkatkan terapi cecair intravena bagi mempercepat pemulihan.
“Pada sebelah petang, Indro dimandikan dan suhu badannya normal sekitar 38.8 darjah Celsius,” katanya.
“Menjelang tengah malam, dia masih aktif bergerak dan menunjukkan minat terhadap makanan.”
Bagaimanapun, keadaan itu tidak bertahan lama.
Awal pagi 28 Jun, penjaga menemukan Indro terbaring dan tidak memberi tindak balas terhadap usaha menyelamat yang dilakukan pasukan veterinar dan penjaga.
“Kira-kira 3.30 pagi, doktor veterinar menjalankan pemeriksaan kecemasan terhadap fungsi pernafasan serta melakukan CPR selama beberapa minit,” katanya.
“Namun Indro tidak memberi tindak balas dan disahkan mati pada 3.45 pagi,” tambah beliau.
Menurut Encik Heru, kematian Indro dipercayai berpunca daripada komplikasi kesihatan akibat kehilangan selera makan berpanjangan selepas melalui fasa peningkatan hormon agresif.
Namun, katanya, pasukan bersama TNTN dan Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Riau (BBKSDA) tetap menjalankan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Sampel organ Indro sudah dihantar ke makmal bertauliah untuk ujian patologi lengkap,” katanya.
Selepas proses bedah siasat selesai, bangkai Indro ditanam berhampiran kawasan kem mengikut prosedur pemuliharaan.
Encik Heru menyifatkan kematian Indro sebagai kehilangan besar kepada usaha pemuliharaan gajah Sumatera di Riau.
“Indro selama bertahun-tahun menjadi sebahagian daripada pasukan ‘Flying Squad’ dan memberi sumbangan besar kepada keseimbangan alam serta perlindungan kampung sekitar TNTN,” katanya. – Agensi berita.
