DHAKA: Bangladesh pada 31 Disember mengucapkan selamat tinggal terakhir kepada bekas perdana menteri Khaleda Zia menerusi upacara pengebumian negara yang dijangka menarik kehadiran ratusan ribu rakyat, ketika negara itu berkabung atas pemergian seorang tokoh politik gergasi yang membentuk landskap politik selama beberapa dekad.
Cik Khaleda Zia, wanita pertama yang memegang jawatan perdana menteri di negara Asia Selatan berpenduduk sekitar 170 juta orang itu, meninggal dunia pada 30 Disember pada usia 80 tahun selepas berdepan masalah kesihatan berpanjangan.
Bagi ramai rakyat Bangladesh, pemergian Cik Zia bukan sekadar kehilangan seorang bekas pemimpin, tetapi simbol perjuangan politik dan kepimpinan wanita dalam sistem yang didominasi lelaki.
“Khaleda Zia adalah satu inspirasi,” kata suri rumah, Cik Sharmina Siraj, kepada AFP.
“Sukar untuk membayangkan wanita berada dalam kedudukan kepimpinan dalam masa terdekat,” katanya.
Ibu kepada dua anak berusia 40 tahun itu berkata skim elaun yang diperkenalkan oleh Cik Zia untuk menyokong pendidikan kanak-kanak perempuan memberi kesan besar kepada kehidupan ramai keluarga.
“Dasar itu memberi impak besar kepada kehidupan anak-anak perempuan kami. Bagi saya, itu adalah sumbangan terbesarnya,” katanya.
Walaupun berdepan masalah kesihatan serius dan pernah dipenjarakan, Cik Zia sebelum ini menyatakan hasrat untuk terus berkempen dalam pilihan raya yang dijadualkan pada 12 Februari, iaitu pilihan raya pertama sejak kebangkitan rakyat tahun lalu yang menjatuhkan seteru politik utamanya, Cik Sheikh Hasina.
Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP) yang diterajui Cik Zia dilihat sebagai antara calon terkuat dalam pilihan raya tersebut. Anak lelakinya, Encik Tarique Rahman, 60, yang baru pulang minggu lalu selepas 17 tahun dalam buangan, dilihat sebagai calon berpotensi untuk jawatan perdana menteri sekiranya parti itu memperoleh majoriti.
Pemerintah sementara yang diketuai pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Encik Muhammad Yunus, mengisytiharkan tiga hari berkabung negara. Upacara pengebumian negara bermula dengan solat jenazah di luar bangunan parlimen sekitar jam 2 petang waktu tempatan.
Bendera negara dikibarkan separuh tiang, manakala kawalan keselamatan dipertingkatkan di seluruh ibu negara, Dhaka, bagi mengawal perhimpunan besar orang ramai.
Dalam satu kenyataan, Encik Yunus berkata Bangladesh telah “kehilangan seorang pelindung besar”.
“Melalui kepimpinan beliau yang tidak berkompromi, negara ini berulang kali dibebaskan daripada keadaan tidak demokratik dan diinspirasikan untuk menuntut semula kebebasan,” katanya.
Jenazah Cik Zia akan dikebumikan di sisi mendiang suaminya, Encik Ziaur Rahman, bekas presiden Bangladesh yang dibunuh pada 1981 ketika memegang jawatan tersebut.
Dalam satu kenyataan berasingan, Encik Tarique Rahman berkata negaranya sedang berkabung atas kehilangan seorang tokoh yang membimbing aspirasi demokrasi Bangladesh.
“Ibu saya menempuh penahanan berulang kali, penafian rawatan perubatan dan penganiayaan tanpa henti,” katanya. “Namun beliau tidak pernah berhenti melindungi keluarganya dengan keberanian dan belas kasihan. Ketabahannya tidak pernah goyah.”
Cik Zia dimasukkan ke hospital pada akhir November akibat pelbagai komplikasi kesihatan, dan keadaannya dilaporkan semakin merosot walaupun menerima rawatan. Namun, hanya beberapa jam sebelum kematiannya, penyokong parti pada Isnin telah menyerahkan kertas pencalonan bagi pihaknya untuk bertanding di tiga kawasan pilihan raya pada pilihan raya tahun hadapan.
Seorang aktivis, ABM Abdul Fattah, yang menyertai kumpulan berkabung di luar hospital di Dhaka pada 30 Disember menyifatkan Cik Zia sebagai pemimpin yang berpegang teguh pada prinsip.
“Beliau sentiasa mahu memulihkan demokrasi dengan kekal berada di negara ini dan melindungi rakyat,” katanya kepada AFP.
Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, berkata beliau berharap “visi dan legasi” Cik Zia akan terus membimbing hubungan antara kedua-dua negara, satu mesej yang dianggap signifikan memandangkan hubungan New Delhi dan Dhaka tegang sejak kejatuhan Cik Hasina.
Menteri Luar India, Encik Subrahmanyam Jaishankar, dijangka menghadiri pengebumian itu, menandakan lawatan tertinggi oleh pegawai India sejak Cik Hasina digulingkan. Menteri Luar Pakistan, Encik Mohammad Ishaq Dar, juga dijadualkan hadir, menurut Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Dhaka.
Cik Hasina, 78 tahun, yang dijatuhi hukuman mati secara in absentia pada November atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan, dilaporkan masih bersembunyi di India.
Cik Zia, yang berkhidmat sebagai perdana menteri sebanyak tiga kali, dipenjarakan atas tuduhan rasuah pada 2018 di bawah pentadbiran Hasina, yang turut menghalangnya daripada mendapatkan rawatan perubatan di luar negara. Beliau dibebaskan tahun lalu, tidak lama selepas Cik Hasina dipaksa melepaskan kuasa.
Dalam satu kenyataan yang dikongsi di media sosial oleh Parti Liga Awami yang kini diharamkan, Cik Hasina berkata: “Saya mendoakan ketenangan abadi dan keampunan bagi roh Begum Khaleda Zia.”
Pemergian Khaleda Zia menandakan berakhirnya satu era dalam politik Bangladesh, ketika negara itu bersiap menghadapi pilihan raya penting dan masa depan yang masih sarat ketidaktentuan. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg