Topik diikuti
Pergi ke BHkuRibuan hadiri pengebumian tiga wira gugur lindungi masjid di San Diego
Ribuan hadiri pengebumian tiga wira gugur lindungi masjid di San Diego
Ribuan hadiri pengebumian tiga wira gugur lindungi masjid di San Diego
SAN DIEGO: Lebih 2,000 orang berhimpun di sebuah taman di San Diego, California bagi memberi penghormatan terakhir kepada tiga lelaki Islam yang terbunuh ketika cuba menghalang serangan bersenjata di masjid terbesar bandar itu pada 18 Mei lalu.
Suasana pilu menyelubungi upacara solat jenazah yang diadakan di Taman Sungai Mission Valley apabila ribuan penduduk, termasuk anggota polis berpakaian seragam, berdiri rapat dalam saf panjang untuk menunaikan solat jenazah buat Allahyarham Amin Abdullah, 51 tahun; Mansour Kaziha, 78 tahun; dan Nadir Awad, 57 tahun.
Ketiga-tiga jenazah diletakkan di bawah kanopi putih dengan kain penutup, manakala para hadirin mengangkat tangan sambil melaungkan “Allahu Akbar”.
Upacara itu bukan sahaja menjadi simbol kesedihan masyarakat Islam di San Diego, malah dilihat sebagai lambang keteguhan komuniti itu dalam menghadapi peningkatan sentimen Islamofobia di Amerika Syarikat.
“Kami sedang berduka. Kami terluka. Tetapi kami tidak takut,” kata Imam Taha Hassane sebelum upacara bermula.
Ketiga-tiga mangsa dianggap wira kerana tindakan mereka dipercayai berjaya menghalang pembunuhan lebih besar ketika dua remaja bersenjata menyerang Pusat Islam San Diego pada 18 Mei lalu ketika waktu persekolahan.
Menurut polis, serangan bermula kira-kira jam 11.43 pagi waktu tempatan apabila Allahyarham Amin Abdullah yang bertugas sebagai pengawal keselamatan pusat itu berbalas tembakan dengan penyerang.
Dalam keadaan genting, beliau sempat menggunakan radio untuk mengarahkan “lockdown” di kawasan masjid dan sekolah rendah Islam yang menempatkan kira-kira 140 pelajar.
Tindakan pantas itu memberi masa kepada guru dan pelajar untuk bersembunyi di bilik darjah serta almari sebelum penyerang berjaya memasuki kawasan sekolah.
Anak mangsa, Encik Khaled Abdullah, 24 tahun berkata keluarganya reda dengan cara bapanya meninggal dunia. “Hakikat bahawa beliau berada di barisan hadapan untuk mempertahankan kanak-kanak dan orang tidak bersalah membuatkan saya bangga,” katanya kepada Reuters. “Menggelarnya sebagai wira adalah perkara paling kecil yang boleh kami lakukan,” katanya.
Allahyarham Nadir Awad yang tinggal bertentangan masjid dan Allahyarham Mansour Kaziha yang bertugas sebagai tukang selenggara serta pengurus kedai pusat Islam itu turut berlari ke lokasi selepas mendengar bunyi tembakan.
Kedua-duanya cuba mengalih perhatian penyerang dan membantu mengeluarkan mereka dari kawasan masjid sebelum ditembak mati.
Ramai penduduk mengenang Allahyarham Kaziha sebagai individu yang sering membantu komuniti tanpa mengira masa. “Beliau melakukan apa sahaja yang diperlukan masyarakat,” kata seorang jemaah.
Allahyarham Awad pula dikenang sebagai seorang jemaah yang sentiasa hadir membantu komuniti setempat. Ketiga-tiga mereka dikebumikan bersebelahan di sebuah tanah perkuburan berhampiran pada hari sama.
Jumlah kehadiran luar biasa dalam upacara itu menyebabkan solat jenazah tidak dapat diadakan di dalam masjid kerana ruang yang terlalu kecil untuk menampung orang ramai.
Ramai hadir dari pelbagai negeri di Amerika Syarikat, termasuk dari Pantai Timur, semata-mata untuk memberi penghormatan terakhir.
Bagi ramai hadirin, kehadiran mereka bukan sekadar untuk berkabung, tetapi menunjukkan bahawa komuniti Islam tidak akan tunduk kepada kebencian. “Kami tidak mendengar suara kebencian di luar sana,” kata Encik Idi Cisse, 37 tahun, rakan kepada Allahyarham Amin Abdullah.
“Kami masih sebuah komuniti. Kami saling menyayangi,” katanya sambil menunjukkan video rakaman
Ketika para hadirin berdiri menunaikan solat jenazah, ramai tidak dapat berhenti memikirkan kemungkinan tragedi lebih buruk jika ketiga-tiga lelaki itu tidak bertindak pantas.
Cik Rana Dbeis, ibu kepada seorang pelajar berusia lima tahun di sekolah pusat Islam itu berkata beliau masih sukar mempercayai anaknya terselamat.
“Sebagai ibu bapa, kami melihat anak-anak kami dan tidak percaya mereka masih hidup,” katanya.
“Tetapi kami sentiasa mengingati pengorbanan tiga individu ini yang melindungi anak-anak kami.”
Beliau mengakui sebelum ini bimbang menghantar anaknya ke sekolah Islam kerana peningkatan sentimen anti-Islam dan kejadian tembakan di sekolah-sekolah Amerika.
Namun suaminya meyakinkannya bahawa sekolah itu mempunyai sistem keselamatan yang baik.
“Disebabkan keselamatan itulah anak-anak kami terselamat,” katanya.
Beliau berkata anaknya mendengar bunyi tembakan dan masih trauma, namun beliau cuba menjelaskan kepada anaknya bahawa tiga lelaki yang maut itu ialah wira sebenar.
“Saya beritahu dia semalam bahawa mereka lebih hebat, lebih berani dan lebih kuat daripada Batman, Superman dan Spiderman,” katanya sambil menahan sebak. “Mereka melindungi kamu semua.”
Ketua Polis San Diego, Encik Scott Wahl berkata siasatan awal menunjukkan serangan itu mungkin bermotifkan kebencian terhadap Islam. “Kami menganggap ini sebagai jenayah kebencian sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya.
Polis berkata kedua-dua remaja bersenjata itu melarikan diri selepas serangan sebelum ditemui mati akibat tembakan yang dipercayai dilakukan sendiri.
Insiden itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Islam Amerika yang mendakwa peningkatan retorik anti-Islam sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin membimbangkan.
Bagi Imam Taha Hassane, himpunan ribuan orang pada hari pengebumian itu membawa mesej jelas bahawa komuniti Islam San Diego masih teguh walaupun diserang.
“Hari ini ialah mesej kepada semua orang bahawa komuniti kami terluka, tetapi kami masih berdiri kuat dan teguh,” katanya. - Agensi berita
