Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gaza dilanda krisis air teruk akibat pencemaran, saluran paip rosak

Aug 6, 2025 | 7:25 PM
Kesukaran mendapatkan air dialami seluruh rakyat Gaza, dengan hampir kesemua rakyat tinggal di tempat perlindungan sementara atau khemah tanpa kemudahan kumbahan atau kebersihan.
Kesukaran mendapatkan air dialami seluruh rakyat Gaza, dengan hampir kesemua rakyat tinggal di tempat perlindungan sementara atau khemah tanpa kemudahan kumbahan atau kebersihan. - Foto REUTERS

GAZA: Dalam keadaan lemah akibat kelaparan, ramai penduduk Gaza terpaksa meredah kawasan yang musnah setiap hari demi mendapatkan air untuk diminum dan kegunaan harian.

Beban memikul air itu amat berat, namun jumlah yang diperoleh masih tidak mencukupi untuk mengekalkan kesihatan asas penduduk.

Meskipun perhatian dunia kini tertumpu kepada isu kebuluran di Gaza susulan serangan ketenteraan Israel yang telah berlarutan selama 22 bulan, kumpulan bantuan kemanusiaan memberi amaran bahawa krisis air di wilayah itu sama serius.

Meskipun sebahagian kecil bekalan air dibekalkan melalui unit penyahgaraman kecil yang dikendalikan agensi kemanusiaan, sebahagian besar bekalan datang daripada telaga di akuifer (lapisan bawah permukaan batu atau sedimen yang menyimpan dan mengalirkan air bawah tanah) yang payau rasanya dan kini semakin tercemar akibat kebocoran bahan kumbahan dan kimia dari runtuhan.

Pencemaran itu sekali gus menyumbang kepada penularan penyakit hepatitis dan cirit-birit.

Paip utama dari Israel yang dahulunya membekalkan sebahagian besar air bersih ke Gaza kini kering, susulan tindakan negara itu menghentikan sepenuhnya bekalan air dan elektrik ke wilayah tersebut pada awal peperangan.

Meskipun sebahagian bekalan disambung semula selepas itu, saluran paip telah rosak, dan menurut pegawai air di Gaza, tiada bekalan telah disalurkan sejak kebelakangan ini

Agensi penyelarasan bantuan tentera Israel, Cogat, tidak memberikan sebarang jawapan apabila diminta mengulas sama ada pihaknya masih membekalkan air ke Gaza.

Sebahagian besar prasarana air dan sanitasi telah musnah, manakala pam dari akuifer pula bergantung pada elektrik yang dijana oleh enjin kecil, dan bekalan bahan bakarnya sangat terhad.

Kesukaran mendapatkan air dialami seluruh penduduk Gaza, dan hampir kesemua mereka tinggal di tempat perlindungan sementara atau khemah tanpa kemudahan kumbahan atau kebersihan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata tahap minimum penggunaan air ketika kecemasan adalah 15 liter sehari bagi setiap individu untuk keperluan minum, memasak, dan mencuci. 

Namun, purata penggunaan air di Gaza kini hanya antara tiga dengan lima liter sehari sahaja, kata Ketua Dasar Kemanusiaan bagi Agensi Bantuan Oxfam di wilayah Palestin yang diduduki, Cik Bushra Khalidi.

Ini jauh berbeza daripada purata penggunaan air harian di Israel iaitu sekitar 247 liter sehari ujar kumpulan hak asasi Israel, B’Tselem.

Menurut Oxfam, penyakit berjangkit melalui air yang boleh dicegah dan dirawat kini “merebak dengan pantas di Gaza,” dengan kadar kes dilaporkan meningkat hampir 150 peratus dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.

Cik Bushra berkata gencatan senjata serta akses tanpa sekatan untuk agensi kemanusiaan diperlukan bagi menangani krisis tersebut.

“Jika tidak, kita akan menyaksikan kematian akibat penyakit yang sepatutnya boleh dicegah di Gaza – yang kini berlaku di depan mata kita,” katanya. 

Israel menyalahkan kumpulan Palestin, Hamas, atas penderitaan rakyat Gaza dan mendakwa ia menyediakan bantuan yang mencukupi untuk 2.3 juta penduduk wilayah itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg