NEW YORK: Dari Boston ke Los Angeles, ribuan orang berhimpun pada 8 Mac di Amerika Syarikat untuk membantah kepimpinan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, termasuk cara beliau menangani peperangan di Ukraine, pendiriannya terhadap hak pengguguran dan pemecatan pekerja persekutuan.
Sekitar 300 perhimpunan membantah pentadbiran Encik Trump yang dianjurkan sempena Hari Wanita Antarabangsa, telah diadakan di seluruh negara.
Sebahagian bantahan, seperti di Washington Square Park di Manhattan, menarik sekurang-kurangnya beberapa ribu penunjuk perasaan.
Bantahan di bandar lebih kecil – termasuk Richmond, Virginia; Sarasota, Florida; dan Port Angeles, Washington – mendapat sambutan lebih terhad, dengan bantahan di Madison, Wisconsin, dihadiri lebih 120 orang.
Di Bandar New York, golongan penunjuk perasaan menyuarakan kemarahan tentang layanan Encik Trump terhadap Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky; sekatan yang Encik Trump kenakan ke atas golongan transjantina; serta perkara lain yang mereka anggap telah menjejas demokrasi negara.
Berbeza dengan negara lain, Hari Wanita Antarabangsa, tidak diraikan secara meluas di Amerika.
Namun, penganjur berkata rakyat Amerika yang ingin menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, melihat hari itu sebagai waktu yang tepat untuk berhimpun.
Kumpulan wanita pernah menerajui bantahan besar-besaran semasa pelantikan pertama Encik Trump pada 2017, yang dikenali sebagai ‘Women’s March’ (Perarakan Wanita).
Jutaan rakyat menyertai bantahan itu, menjadikannya demonstrasi awam sehari terbesar dalam sejarah Amerika.
Pelantikan kedua Encik Trump tidak mendapat bantahan sebegitu hebat, mencerminkan perubahan taktik dan mungkin juga bantahan yang kurang bersatu.
Langkah Encik Trump baru-baru ini seperti pembekuan dana, pemecatan pekerja persekutuan dan perintah Presiden telah membuatkan ramai rakyat Amerika mencari peluang untuk membuat bantahan, kata pengarah eksekutif Women’s March, Cik Rachel O’Leary Carmona, yang menganjurkan perhimpunan pada 8 Mac.
Peserta perhimpunan datang daripada pelbagai latar belakang, serta menumpukan kepada pelbagai isu seperti pemecatan di Perkhidmatan Taman Negara atau sekatan ke atas hak pengguguran.
“Semua perkara menjadi kebimbangan orang ramai, kerana tiada aspek serangan ini (dasar Encik Trump) yang tidak memberi kesan kepada semua orang,” kata Cik O’Leary Carmona.
Sebahagian peserta pada 8 Mac turut hadir di acara bantahan lain sebelum ini, seperti demonstrasi di Taman Negara pada 2 Mac dan perhimpunan Stand Up for Science pada 7 Mac.
Bagi Cik Ricki Sajbel, suri rumah berusia 67 tahun dan ahli kumpulan pejuang hak wanita dan keamanan, Raging Grannies of Madison, perhimpunan pada 8 Mac itu, menandakan tamatnya tempoh sibuk aktivisme beliau.
“Ini adalah bantahan keempat saya dalam seminggu,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg