Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Meramal ketidakpastian dasar luar Trump

Presiden AS ke-47 punya mandat pilihan raya yang besar untuk ubah Amerika dan dasar luar, jika tidak sia-siakan dengan idea tidak realistik
Jan 26, 2025 | 5:30 AM
Masih terdapat keraguan mengenai sikap Encik Donald Trump yang tidak stabil dan apakah kesannya ke atas dasar luar Amerika Syarikat, selepas beliau memegang jawatan presiden pada 20 Januari.
Masih terdapat keraguan mengenai sikap Encik Donald Trump yang tidak stabil dan apakah kesannya ke atas dasar luar Amerika Syarikat, selepas beliau memegang jawatan presiden pada 20 Januari. - Foto EPA-EFE

Encik Donald Trump telah mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-47 pada 20 Januari.

Bagaimanapun, keraguan mengenai sikapnya yang tidak stabil dan tidak dapat diramalkan masih kekal dan apakah maknanya bagi dasar luar Amerika.

Saluran media Amerika secara berterusan menyifatkan Encik Trump sebagai tidak stabil dan sering menyalahkannya atas banyak masalah dunia.

Ucapan Encik Trump sering kali kasar dan menghina, namun dilihat sebagai provokasi yang disengajakan untuk mencapai matlamat “Menjadikan Amerika Hebat Semula”.

Ulasan ini akan mengupas usaha Encik Trump sebagai Presiden baru dalam merealisasikan janjinya untuk menamatkan perang di Ukraine dan Timur Tengah, mengurus hubungan dengan China dan Asean, serta kenyataannya baru-baru ini mengenai Greenland, Terusan Panama dan Canada, selepas beliau memegang jawatan pada 20 Januari.

Ukraine

Encik Trump telah berjanji akan menamatkan perang di Ukraine.

Kemenangannya dalam pilihan raya pada 2024 menggariskan keperluan untuk Kesatuan Eropah (EU) mempertimbangkan semula dasarnya terhadap perang tersebut – sama ada ia boleh mencari kesepakatan untuk menyesuaikan semula agenda sosial domestiknya menghadapi tuntutan bersaing daripada peningkatan tekanan Amerika terhadap isu berkaitan perdagangan dan meningkatkan bantuan ke Ukraine.

Bagi Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, seperti yang disampaikan dalam ucapannya pada 2 Januari, “keamanan yang adil” memerlukan tentera yang kukuh, jaminan keselamatan daripada sekutu Barat, serta keahlian masa depan negara itu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan EU.

Namun, Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dijangka tidak bersetuju kerana tujuan utama pencerobohannya adalah untuk menghalang Ukraine daripada menyertai Nato.

Walaupun Encik Trump sangat meminati Encik Putin, banyak faktor bergantung kepada sejauh mana beliau mampu mengatasi ketidakpercayaan antara Barat, Ukraine dengan Russia.

Laporan menunjukkan Encik Trump sedang mempertimbangkan untuk menangguhkan keahlian Nato Ukraine buat sekurang-kurangnya 20 tahun, sambil terus membekalkan negara itu dengan senjata. 

Naib Presiden, Encik J D Vance, juga telah menunjukkan bahawa Encik Trump mungkin bertegas agar Ukraine menyerahkan wilayah yang dikuasai oleh Russia dan bersetuju dengan satu zon bebas tentera.

Bagi Encik Trump, cabarannya dua kali ganda: mengatasi rintangan domestik terhadap kompromi kepada Russia dan menangani kepentingan bersaing.

Penghentian permusuhan tidak akan memuaskan mana-mana protagonis dan mungkin bersifat sementara.

Penyelesaian konflik yang berkekalan akan menuntut lebih daripada penyelesaian mudah atau pernyataan berani.

Timur Tengah

Serangan tegas Israel terhadap Hamas, Hezbollah dan Iran dan pemerolehan satu penampan keselamatan di Syria baru-baru ini telah mengubah landskap keselamatan politik di Timur Tengah.

Ia menimbulkan peluang baik untuk membentuk hasil yang memihak kepadanya, terutama dengan sokongan penuh Encik Trump.

Pihak yang menyokong kekerasan di Tel Aviv dan Washington telah menggesa Amerika supaya menyerang kemudahan nuklear Iran.

Bagaimanapun, Encik Trump tidak dijangka berbuat demikian kerana ini memerlukan kerjasama aktif rakan kongsi utama Eropah dan Arab, khususnya Arab Saudi.

Satu serangan berisiko menyebabkan wilayah itu terjerumus ke dalam perang besar tanpa sebarang kepastian bahawa semua kemudahan nuklear Iran akan dapat dimusnahkan.

Oleh itu, Encik Trump mungkin akan merundingkan perjanjian yang akan turut membekukan program nuklear Iran, terutama kerana Iran telah memberi isyarat kesediaannya untuk menyambung semula rundingan nuklear.

Memandangkan terdapat risiko kepentingan yang tinggi, Encik Trump hanya akan berperang jika terdapat bukti bahawa Iran berkeras untuk melepasi batas nuklear, tetapi para pegawai negara itu sedar akan prospek mereka.

Satu perjanjian mungkin dicapai, dan kedua-dua Amerika dan Iran lebih cenderung mencapai persetujuan, walaupun tidak sempurna.

Ini akan memberi Washington waktu menambah stok senjata dan peralatannya yang telah habis bagi menyokong Israel juga.

Bagi Iran, ia mungkin akan meneruskan program nuklearnya secara tersembunyi kerana itu adalah satu-satunya jaminan untuk kelangsungan rejimnya.

China dan Indo-Pasifik

Encik Trump akan menghadapi Indo-Pasifik yang telah mengalami perubahan kepimpinan.

Pada 2024, rantau itu telah menyaksikan pemimpin baru di Taiwan, Jepun, Bangladesh, Indonesia, Vietnam, Singapura dan Thailand.

Bagaimana beliau akan bertindak balas terhadap cadangan dari Asia dan pergolakan berterusan di Korea Selatan akan menjejas kestabilan dan kemakmuran serantau.

Sebagai contoh, bagaimanakah beliau akan bertindak balas terhadap cadangan Jepun untuk menubuh ‘Nato versi Asia’, kerana ia pasti akan mencetuskan tindak balas tajam daripada China, Korea Utara dan Russia?

Adakah beliau akan bertindak balas secara positif atau menggunakannya sebagai alat tawar-menawar untuk menekan China dan Korea Utara?

Kebanyakan penganalisis meramalkan bahawa persaingan Amerika-China akan meningkat dengan Encik Trump di Rumah Putih, tetapi konflik tidak dapat dielakkan.

Encik Trump dan Presiden China, Encik Xi Jinping, telah mengucapkan kata-kata yang memenuhi tuntutan politik untuk bekerjasama menangani kebimbangan global yang dikongsi bersama.

‘Garisan merah’ mengenai isu Taiwan dan sekatan ketat ke atas sektor-sektor strategik dan teknologi dwi-penggunaan sudah terbenam dalam dasar dan tidak mungkin berubah kecuali penyesuaian kecil.

Kita juga boleh menjangka Encik Trump menuntut penjajaran yang lebih besar dengan Washington oleh rakan dan sekutunya.

Dari aspek positif, kemajuan dalam mengurangkan defisit perdagangan Amerika yang besar, import fentanil (sejenis ubat yang boleh menyebabkan ketagihan yang telah menjadi satu isu besar di Amerika) dan ketegangan mengenai penglibatan Korea Utara di Ukraine mungkin berlaku jika ada diplomasi dan kesediaan untuk menyesuaikan pemikiran.

Sebagai contoh, semasa kempen pilihan rayanya Oktober lalu, Encik Trump berbangga dengan mengatakan bahawa ancamannya untuk menaikkan tarif telah meyakinkan China supaya meninggalkan rancangan membina loji kenderaan elektrik (EV) yang besar di Mexico.

Bagaimanakah jika sebaliknya, pemimpin China menawarkan untuk membina kilang di Amerika dan menjual kereta yang dihasilkan di pasaran Amerika?

Ini akan menjadi situasi saling menguntungkan untuk kedua-dua negara – lebih banyak pekerjaan untuk pekerja Amerika dan akses pasaran EV untuk China.

Komitmen China untuk menangani masalah fentanil secara serius akan meningkatkan imej China dengan ketara dalam kalangan rakyat Amerika, pentadbiran dan prospeknya dalam merundingkan konsesi mengenai isu lain.

Asean

Asean sedang bersiap sedia untuk menghadapi peningktan dalam persaingan antara Amerika dengan China.

Terdapat kebimbangan yang besar bahawa janji Encik Trump untuk mengenakan tarif yang tinggi akan mendatangkan kesan, terutama ke atas pelaburan China di negara anggota Asean untuk barangan yang akhirnya diimport Amerika.

Akses pasaran kekal sebagai pertimbangan utama bagi Asean.

Bagaimanapun, Amerika telah menarik diri daripada Kerjasama Rentas Pasifik (TPP) di bawah pentadbiran penggal pertama Encik Trump.

Pentadbiran penggal kedua Encik Trump tidak mungkin menganggap Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) atau Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) yang disemak semula sebagai sesuatu yang baik.

Ia juga tidak dijangka menerima inisiatif Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik untuk Kemakmuran (Ipef) pendahulunya.

Ketika Asean mengharungi cabaran tarif dan ancaman, adalah penting bagi kumpulan itu meneroka cara konkrit untuk mengukuhkan hubungan ekonominya dengan Amerika.

Amerika adalah rakan dagangan kedua terbesar Asean dan sumber terbesar pelaburan asing secara langsung (FDI).

Washington telah menegaskan sokongannya terhadap ‘Asean Centrality’ dan mendakwa ia tidak akan memaksa Asean supaya berpihak kepada China.

Namun, tekanan untuk berbuat demikian mungkin akan meningkat di bawah pentadbiran Encik Trump.

Asean kekal penting bagi kepentingan Amerika dan China, tetapi negara anggota Asean mesti lincah dan cekap dalam memanfaatkan kepentingan kolektif mereka di tengah-tengah persaingan Amerika-China.

Greenland, Panama dan Canada

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, ketika berhujah berdasarkan pertimbangan ‘keselamatan ekonomi’, Encik Trump telah menawarkan untuk membeli Greenland daripada Denmark, menunjukkan beliau kurang menghormati kedaulatan sekutu perjanjian.

Beliau juga mengancam akan bertindak terhadap Panama kerana kononnya membenarkan China mengendalikan Terusan Panama.

Encik Trump juga memberi amaran bahawa beliau tidak akan menolak kemungkinan menggunakan kekuatan tentera atau paksaan ekonomi untuk mencapai matlamatnya.

Terdahulu, dalam nada menghina juga, beliau telah mengundang Canada untuk menyertai Amerika sebagai negeri ke-51, dengan alasan bahawa sempadan antara kedua-dua negara itu hanya garisan buatan.

Beliau juga menyalahkan Canada atas defisit perdagangan negaranya serta aliran pendatang tanpa izin dan fentanil ke Amerika.

Kenyataan Encik Trump itu mengimbau kembali kepada era imperialisme Amerika dan ditolak secara meluas oleh banyak pihak, termasuk pemerintah Denmark, Panama dan Canada.

Namun mungkin ada sebab di sebalik tindakan tersebut.

Greenland kaya dengan unsur nadir bumi (rare earth) dan sumber semula jadi lain, selain mempunyai kedudukan yang strategik untuk mencabar kehadiran Russia dan China di kawasan Artik.

Pendapatan lumayan juga boleh diperoleh daripada mengendalikan Terusan Panama.

Canada pula membekalkan 99 peratus daripada import gas asli Amerika dan 60 peratus daripada import minyaknya.

Jika Encik Trump berjaya mendapatkan apa yang beliau mahu, ia akan mengukuhkan kawalan Amerika ke atas laluan laut Amerika Utara dan Artik sambil mengawal kemasukan China dan Russia ke kawasan ini.

Bolehkah cita-cita perluasan kuasa Encik Trump berjaya dalam menghadapi bantahan global, termasuk dari Russia, yang menganggap kawasan Artik kritikal untuk kepentingannya?

Perkembangan ini masih terlalu awal untuk diramalkan.

Bagaimanapun, memandangkan kecenderungan Encik Trump untuk membuat ancaman lantang, kita boleh menjangka beliau akan sekurang-kurangnya berjaya memperoleh beberapa hak operasi yang menguntungkan daripada ketiga-tiga negara itu.

Kesimpulan

Encik Trump mempunyai mandat pilihan raya yang cukup besar untuk melaksanakan perubahan di dalam Amerika dan dasar luarnya, jika beliau tidak mensia-siakannya dengan idea-idea tidak realistik.

Beliau telah berjaya dari awal lagi, memilih sekumpulan pegawai dan penasihat yang dipercayai, dan berinteraksi sejak awal dengan sekutu-sekutu utama.

Ini mendorong beberapa penganalisis politik untuk mengatakan bahawa beliau mungkin menjadi penghuni Rumah Putih yang paling bersedia.

Sejauh mana beliau boleh menghidupkan semula kedudukan dan imej global Amerika dalam menghadapi cabaran domestik dan antarabangsa yang ketara masih belum dapat dijangkakan.

Penulis ialah bekas diplomat Singapura dan Felo Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura. Rencana ini kali pertama diterbitkan di laman RSIS pada 13 Januari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg