Ribuan warga asing terkandas berusaha keluar dari rantau konflik Timur Tengah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribuan warga asing terkandas berusaha keluar dari rantau konflik Timur Tengah

Mar 4, 2026 | 12:31 PM

Ribuan warga asing terkandas berusaha keluar dari rantau konflik Timur Tengah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
konflik iran, rakyat asing, kandas
Orang ramai turun dari pesawat tentera Slovakia yang tiba dari Aqaba, Jordan, di Bratislava, Slovakia, pada 3 Mac 2026. Pemerintah Slovakia menghantar dua pesawat bagi memindahkan rakyatnya yang terkandas di Asia Barat. Slovakia bersama beberapa negara lain sedang memindahkan rakyat masing-masing dari rantau itu ketika konflik antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran terus berlanjutan. - Foto EPA

DUBAI: Serangan dron dan peluru berpandu yang dilancarkan Iran ke beberapa negara di Asia Barat menyebabkan gangguan besar kepada penerbangan antarabangsa, memaksa syarikat penerbangan membatalkan ribuan penerbangan di seluruh rantau itu.

Gangguan tersebut menjejaskan beberapa hab penerbangan utama dunia termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai di Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Qatar, sekali gus menyebabkan puluhan ribu penumpang terkandas tanpa kepastian perjalanan.

Ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak pada 4 Mac, masih ramai pelancong, ekspatriat dan pengembara perniagaan kini terperangkap di rantau Teluk dengan pilihan yang sangat terhad untuk meninggalkan kawasan yang tiba-tiba dilanda konflik.

Di Qatar, ruang udara masih ditutup selepas serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran mencetuskan tindakan balas dari Teheran.

Akibatnya, kira-kira 8,000 penumpang transit di lapangan terbang negara itu terkandas tanpa penerbangan keluar.

Pada masa sama, hanya sejumlah kecil penerbangan dibenarkan berlepas dari UAE sejak 2 Mac lalu, menyebabkan ramai pelancong dan pekerja asing terpaksa mencari alternatif untuk meninggalkan rantau itu.

Firma analisis penerbangan Cirium melaporkan bahawa kira-kira 18,000 penerbangan ke dan dari Asia Barat telah dibatalkan sejak konflik meletus 28 Februari lalu.

Lapangan terbang di rantau itu merupakan antara yang paling sibuk di dunia dan berfungsi sebagai hab utama yang menghubungkan penerbangan antara Asia, Eropah, Afrika dan Amerika.

Dalam keadaan biasa, hampir 900,000 tempat duduk penerbangan disediakan setiap hari di rantau tersebut.

Namun penutupan ruang udara dan gangguan operasi lapangan terbang menyebabkan rangkaian penerbangan global terganggu dengan ketara.

Pemerintah Amerika kini menggesa rakyatnya supaya segera meninggalkan Asia Barat ketika konflik terus memuncak.

Presiden Donald Trump berkata lebih daripada 9,000 rakyat Amerika telah berjaya pulang ke tanah air sejak operasi pemindahan bermula.

“Sejak pelancaran Operasi Epic Fury, lebih 9,000 rakyat Amerika telah kembali dengan selamat dari Asia Barat,” kata Encik Trump dalam satu kenyataan di platform Truth Social.

Beliau menggesa rakyat Amerika yang masih berada di rantau itu supaya mendaftar dengan Jabatan Negara bagi mendapatkan bantuan perjalanan.

“Jika anda rakyat Amerika di Asia Barat dan ingin pulang ke tanah air, sila daftar dengan Jabatan Negara. Kami sedang mengatur penerbangan khas secara percuma serta menempah penerbangan komersial bagi membantu mereka pulang,” katanya.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata Jabatan Negara Amerika sedang bekerja secara aktif bagi membantu rakyat Amerika yang terperangkap.

“Kami sedang merancang pelbagai langkah untuk membantu rakyat Amerika di Asia Barat pulang ke negara mereka,” katanya.

Seorang pegawai Jabatan Negara, Encik Dylan Johnson, turut memaklumkan bahawa pemerintah sedang mendapatkan pesawat tentera dan penerbangan sewa khas bagi membantu pemindahan rakyat Amerika.

Selain Amerika, beberapa negara Barat juga sedang melaksanakan usaha pemindahan rakyat masing-masing dari rantau tersebut.

Britain mengumumkan penerbangan khas dari Muscat, Oman, akan disediakan bagi membawa pulang rakyatnya yang terperangkap.

Setiausaha Dalam Negeri Britain, Cik Yvette Cooper, berkata sekitar 130,000 rakyat Britain telah mendaftar dengan pejabat luar negara mereka di rantau itu.

“Situasi ini berubah dengan sangat pantas dan kami sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk meningkatkan kapasiti penerbangan keluar,” katanya.

Perancis pula merancang memindahkan kira-kira 400,000 rakyatnya yang berada di Asia Barat, dengan penerbangan pertama dijadualkan berlepas dalam masa terdekat.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot, berkata golongan yang sakit, warga emas dan kanak-kanak akan diberi keutamaan.

Jerman, Italy dan Sepanyol juga melancarkan operasi pemindahan serupa menggunakan penerbangan sewa khas dan laluan darat melalui negara jiran.

Walaupun usaha pemindahan sedang dijalankan, ramai pengembara berkata mereka masih terpaksa mencari jalan keluar sendiri.

Seorang pelancong Britain, Cik Claire Prunty, yang berada di Dubai berkata beliau berasa keliru kerana maklumat rasmi sangat terhad.

“Tiada banyak maklumat diberikan, jadi kita rasa seperti mangsa keadaan,” katanya.

“Saya tidak dapat pulang ke rumah, tiada siapa memberi penjelasan jelas dan berita yang diterima juga tidak begitu membantu,” katanya.

Selepas beberapa hari menunggu, beliau akhirnya berjaya mendapatkan tiket penerbangan pulang ke England.

“Saya tidak mahu terus menunggu tanpa kepastian,” katanya.

Sebahagian pengembara kini memilih meninggalkan rantau itu melalui perjalanan darat ke negara yang masih membuka ruang udara.

Oman menjadi antara laluan utama kerana negara itu masih membenarkan operasi penerbangan antarabangsa.

Syarikat penerbangan Oman Air dan SalamAir turut menyediakan bas ulang-alik dari Sharjah di UAE ke ibu negara Oman, Muscat.

Perjalanan darat tersebut mengambil masa kira-kira lapan jam.

Beberapa kumpulan dalam talian juga ditubuhkan bagi membantu pelancong berkongsi maklumat perjalanan dan mengatur kenderaan ke sempadan.

Namun kos untuk keluar dari rantau itu meningkat dengan ketara.

Seorang warga Britain yang tinggal di Arab Saudi berkata beliau membayar lebih AS$1,000 ($1,277) untuk perjalanan dari Dubai ke Riyadh menggunakan kereta.

Harga itu jauh lebih mahal berbanding tambang penerbangan biasa antara dua bandar tersebut yang lazimnya sekitar AS$200.

Seorang pesara jeneral tentera Amerika, Encik Randy Manner, yang terkandas di Dubai berkata keadaan di lapangan terbang sangat huru-hara.

“Kami sudah menaiki pesawat, kemudian diarahkan turun semula dan kembali ke terminal,” katanya.

“Keadaannya sangat kacau. Semua orang cuba mencari jalan keluar.”

Pakar keselamatan antarabangsa berkata situasi semasa menunjukkan bagaimana konflik ketenteraan boleh memberi kesan segera kepada sistem pengangkutan global.

Pengarah keselamatan syarikat bantuan global International SOS, Encik Tyler Hosford, berkata pemindahan rasmi oleh pemerintah biasanya hanya dilakukan apabila tiada pilihan lain.

“Dalam kebanyakan kes, individu perlu mengambil inisiatif sendiri untuk meninggalkan kawasan konflik,” katanya sambil menambah dengan konflik antara Iran, Amerika dan Israel masih berlarutan, gangguan kepada penerbangan dijangka berterusan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg