1,600 jemaah umrah M’sia terkandas di Saudi susulan konflik Asia Barat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

1,600 jemaah umrah M’sia terkandas di Saudi susulan konflik Asia Barat

Mar 4, 2026 | 1:35 PM

1,600 jemaah umrah M’sia terkandas di Saudi susulan konflik Asia Barat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Makkah dan Madinah akan dibantu pulang.
Jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Makkah dan Madinah akan dibantu pulang. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,600 jemaah umrah Malaysia dilaporkan terkandas di Arab Saudi susulan pembatalan serta gangguan operasi beberapa syarikat penerbangan akibat konflik di Asia Barat ketika ini, kata Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir.

Beliau berkata pihaknya berjaya menghubungi kebanyakan jemaah terbabit yang dikenal pasti berada di Jeddah, Makkah dan Madinah.

“Alhamdulillah, mereka berada dalam keadaan baik dan situasi di Arab Saudi terutama Makkah, Madinah dan Jeddah juga sangat baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya dalam rancangan Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV, pada 3 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.

Tengku Mohd Dzaraif berkata kebanyakan jemaah yang terkandas dijadualkan pulang ke tanah air menggunakan penerbangan Malaysia Airlines serta beberapa syarikat penerbangan lain termasuk Qatar Airways, Emirates dan Etihad.

Beliau berkata masih terdapat penerbangan terus dari Jeddah ke Kuala Lumpur melalui Saudia Airlines, selain perkhidmatan AirAsia yang beroperasi dengan kekerapan terhad.

“Ramai jemaah mengambil inisiatif sendiri atau diuruskan oleh ejen pelancongan untuk menukar penerbangan kepada Saudia Airlines dan beberapa kumpulan telah berjaya pulang.

“Malaysia Airlines juga telah bermurah hati menyediakan penginapan kepada jemaah yang sepatutnya pulang menggunakan syarikat itu,” katanya.

Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah membuka bilik operasi 24 jam bagi memantau situasi serta menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas. Bantuan penempatan sementara dan kebajikan turut diselaraskan, termasuk untuk 19 pelajar Malaysia yang terkandas di Jeddah akibat penutupan ruang udara di Jordan.

“Pelajar-pelajar berkenaan telah diberikan penempatan sementara di konsulat dan servis apartmen yang kita usahakan.

“Alhamdulillah, pada pagi 3 Mac mereka telah bertolak pulang dengan bas yang kita sewa khas,” katanya.

Beliau berkata pihak konsulat sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan memantau perkembangan semasa, termasuk kemungkinan keperluan penerbangan khas sekiranya konflik berlarutan.

“Buat masa ini, kita masih membuat penilaian berdasarkan situasi semasa. Syarikat-syarikat penerbangan juga sedia maklum tanggungjawab mereka dan sedang berusaha mencari jalan penyelesaian untuk menyambung semula operasi,” katanya.

Krisis di Asia Barat telah mendorong beberapa negara menutup atau mengehadkan penggunaan ruang udara masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

Situasi tidak menentu ini menjejaskan operasi penerbangan komersial antarabangsa, termasuk jadual penerbangan ke dan dari hab utama di Asia Barat seperti Arab Saudi, memaksa syarikat penerbangan membatalkan atau menjadualkan semula penerbangan atas faktor keselamatan.

Sementara itu, Malaysia Aviation Group (MAG) dalam satu kenyataan pada 3 Mac memaklumkan, Malaysia Airlines akan menyambung semula penerbangan pergi-balik Jeddah dan Madinah untuk sementara, mulai 4 hingga 8 Mac ini.

Ia selepas perkhidmatan digantung sejak 28 Februari lalu menyusuli penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat.

Bagaimanapun, MAG berkata penerbangan ke Doha akan terus digantung hingga 7 Mac ini, kerana syarikat penerbangan masih menilai situasi keselamatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg