Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Turkey tahan 1,100 termasuk wartawan sejak pesaing Erdogan ditahan

Mar 25, 2025 | 12:34 PM
Taksim Square, Istanbul, Ekrem Imamoglu
Para penunjuk perasaan bergerak daripada Dataran Taksim ke arah ibu pejabat Perbandaran Istanbul dalam protes sebagai membantah penahanan Datuk Bandar Istanbul, Encik Ekrem Imamoglu, pada 24 Mac 2025. - Foto EPA-EFE

ANKARA: Polis Turkey telah menahan lebih 1,100 orang, termasuk wartawan, sejak penahanan saingan utama Presiden Recep Tayyip Erdogan mencetuskan pergolakan paling teruk di negara itu dalam beberapa tahun, kata seorang menteri pada 24 Mac.

Demonstrasi bermula di Istanbul selepas penahanan Encik Ekrem Imamoglu minggu lalu dan sejak itu merebak ke lebih 55 daripada 81 wilayah di Turkey, mencetuskan pertempuran dengan polis pencegah rusuhan dan mendapat kecaman antarabangsa.

Encik Imamoglu, 53 tahun, dilihat secara meluas sebagai satu-satunya ahli politik yang boleh mengalahkan Encik Erdogan menerusi peti undi.

Hanya dalam masa empat hari beliau berubah daripada menjadi Datuk Bandar Istanbul – jawatan yang menimbulkan kebangkitan politik Encik Erdogan beberapa dekad sebelumnya – kepada ditangkap, disoal siasat, dipenjarakan dan dilucutkan jawatan akibat rasuah dan siasatan keganasan.

Pada 23 Mac, beliau telah diundi secara besar-besaran sebagai calon pembangkang utama Parti Rakyat Republikan atau Cumhuriyet Halk Partisi (CHP) untuk pemilihan Presiden 2028, dengan kira-kira 15 juta orang membuang undi sebagai tanda sokongan kepada Encik Imamoglu.

Pemerhati berkata ia adalah perkara utama yang mencetuskan tindakan terhadap Encik Imamoglu, saingan politik utama Encik Erdogan yang telah mendominasi politik Turkey sejak 2003, pertama sebagai perdana menteri dan kemudian sebagai presiden.

Penahanannya mendapat kecaman tajam daripada Jerman, yang menyebutnya “tidak boleh diterima sama sekali”.

Greece pula berkata langkah menjejaskan kebebasan awam itu “tidak boleh diterima”.

Dan Kesatuan Eropah memberi amaran kepada Ankara bahawa ia perlu menunjukkan “komitmen yang jelas terhadap norma demokrasi”.

Kementerian Luar Perancis berkata ia adalah “serangan serius terhadap demokrasi”.

Pada 24 Mac, pelajar di universiti utama di Istanbul dan Ankara menggesa pemulauan kuliah.

Perhimpunan pada 23 Mac telah mengakibatkan pertempuran sengit dengan polis pencegah rusuhan menendang dan membelasah orang ramai di Istanbul.

Sebelum subuh pada 24 Mac, polis menahan 10 wartawan Turkey di rumah, termasuk seorang jurugambar AFP, “kerana membuat liputan protes di luar Dewan Bandar Raya”, kata kumpulan hak asasi manusia MLSA.

Sejak 19 Mac, polis telah menahan lebih 1,133 orang kerana “aktiviti haram”, kata Menteri Dalam Negeri Encik Ali Yerlikaya pada 24 Mac.

Antaranya ialah dua peguam yang membela penunjuk perasaan yang ditahan polis, kata Persatuan Peguam di bandar pantai barat Izmir. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg