Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera Israel arah penduduk tinggalkan Bandar Gaza

Jul 18, 2024 | 1:13 PM
Gaza
Seorang wanita Palestin yang duduk bersama anaknya, merenung bangunan di sekitarnya yang telah musnah akibat pengeboman tentera Israel di bandar Bani Suheila dekat Khan Younis, di selatan Gaza pada 17 Julai. - Foto AFP

GAZA: Tentera Israel telah menggugurkan beribu-ribu risalah ke atas Bandar Gaza, menggesa semua penduduk melarikan diri daripada serangan besar-besaran yang dilancarkan di wilayah Palestin yang terkepung.

Risalah itu, yang ditujukan kepada “semua orang di Bandar Gaza”, menetapkan laluan bagi melarikan diri dan memberi amaran bahawa kawasan bandar yang masih diduduki 350,000 penduduk akan “kekal sebagai zon pertempuran berbahaya”.

Amaran itu dibuat ketika tentera Israel, yang menggunakan kereta kebal dan pesawat pejuang, telah menggempur militan Hamas dan Jihad Islam dalam pertempuran paling sengit yang pernah berlaku di bandar itu dalam beberapa bulan sejak perang meletus pada 7 Oktober.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pemindahan terkini itu akan hanya memburukkan penderitaan rakyat Palestin, yang kebanyakannya telah terpaksa hidup berpindah-randah ke tempat lebih selamat.

“Orang awam mesti dilindungi,” kata jurucakap Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, Encik Stephane Dujarric.

Jurucakap pemerintah Israel berkata arahan itu bertujuan, “untuk menjauhkan orang awam daripada bahaya”, ketika tentera Israel memerangi anggota Hamas “di mana-mana mereka berada”.

Peningkatan dalam pertempuran, pengeboman dan pemindahan berlaku ketika rundingan gencatan senjata akan disambung semula di Qatar.

Mengulas peningkatan operasi ketenteraan Israel itu, pegawai Hamas, Encik Hossam Badran, berkata bahawa Israel, “berharap bahawa penentangan dalam pertempuran akan melepaskan tuntutan sahnya”, dalam rundingan gencatan senjata.

Tetapi “pembunuhan beramai-ramai yang berterusan memaksa kami untuk mematuhi tuntutan kami”, katanya.

Di seluruh Gaza, serangan maut telah melanda empat sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan pelarian dalam tempoh empat hari.

Menurut pegawai perubatan di wilayah kendalian Hamas, ia membunuh sekurang-kurangnya 49 orang.

Serangan terkini Israel itu telah mencetuskan teguran dari Perancis dan Jerman.

“Adalah tidak boleh diterima bahawa sekolah, terutama yang menempatkan orang awam yang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran, harus menjadi sasaran,” kata kementerian luar Perancis sambil menggesa siasatan segera dijalankan.

Israel berkata serangan itu menyasarkan kumpulan Hamas yang bersembunyi di sekolah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg