SLOBOZIA CONACHI: Empat orang maut di Romania dalam banjir yang dicetuskan oleh Ribut Boris, yang membawa hujan lebat dan gangguan meluas di tengah dan timur Eropah, kata perkhidmatan penyelamat pada 14 September.
Sejak 12 September, Austria, Republik Czech, Hungary, Romania dan Slovakia dilanda angin kencang dan hujan lebat yang luar biasa.
“Kami sekali lagi menghadapi kesan perubahan iklim, yang semakin wujud di benua Eropah, dengan kesan yang dramatik.
“Kita mesti terus mengukuhkan keupayaan untuk menjangka kejadian cuaca ekstrem,” kata Presiden Romania Encik Klaus Iohannis.
Di Romania, empat mayat ditemui di wilayah Galati di tenggara – kawasan paling teruk terjejas dengan 5,000 rumah musnah.
Beratus-ratus orang telah diselamatkan di 19 kawasan di negara itu, kata perkhidmatan penyelamat, mengeluarkan video rumah yang ditenggelami air di sebuah kampung di tepi sungai Danube.
“Ini adalah satu malapetaka yang dahsyat,” kata Encik Emil Dragomir, datuk bandar Slobozia Conachi di Galati.
Kira-kira 100,000 anggota bomba telah dikerah di Republik Czech, di mana hampir 2,900 kejadian direkodkan pada 13 September, kebanyakannya disebabkan oleh pokok tumbang dan banjir.
Hampir 50,000 rumah terputus bekalan elektrik pada 14 September, kata syarikat janakuasa Czech CEZ.
Para pesakit sebuah hospital di bandar tenggara Brno telah dipindahkan ke tempat lebih selamat pada 14 September. – AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg