Topik diikuti
Pergi ke BHkuRibut Jangmi lumpuhkan penerbangan dan bekalan elektrik di Jepun
Ribut Jangmi lumpuhkan penerbangan dan bekalan elektrik di Jepun
Ratusan ribu penduduk diminta berpindah, Tokyo bersiap hadapi ribut ketika hujan lebat cetus risiko banjir
Ribut Jangmi lumpuhkan penerbangan dan bekalan elektrik di Jepun
TOKYO: Ribut tropika Jangmi terus membadai Jepun pada 3 Jun ketika ribut itu bergerak menuju ke Tokyo, menyebabkan gangguan besar terhadap penerbangan, pengangkutan awam dan bekalan elektrik, selain memaksa ratusan ribu penduduk berpindah.
Pihak berkuasa Jepun turut memberi amaran mengenai risiko banjir dan tanah runtuh selepas hujan lebat melanda sebahagian besar negara itu sejak 2 Jun.
Agensi Meteorologi Jepun berkata ribut tersebut, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai taufan sebelum diturunkan taraf kepada ribut tropika kuat, kini bergerak ke arah timur laut menuju kawasan metropolitan Tokyo.
Ribut itu membawa angin maksimum sehingga 25 meter sesaat dengan tekanan pusat sekitar 980 hektopaskal (hPa), iaitu ukuran tekanan atmosfera yang menunjukkan kekuatan sistem ribut, dengan bacaan lebih rendah biasanya menandakan ribut lebih kuat.
Beberapa kawasan di pesisir Pasifik kini berdepan risiko “bencana mengancam nyawa” akibat hujan berterusan dan angin kencang.
Jurucakap kerajaan Jepun, Encik Minoru Kihara, berkata hampir 60,000 isi rumah terputus bekalan elektrik setakat pagi 3 Jun.
“Jika anda merasakan sebarang bahaya, jangan teragak-agak untuk mengambil tindakan awal demi melindungi nyawa,” katanya dalam sidang media.
Kerajaan Jepun turut mengeluarkan arahan pemindahan kepada kira-kira 370,000 penduduk di lapan wilayah merangkumi kawasan barat daya, tengah dan timur negara itu.
Kawasan terjejas termasuk pulau Shikoku, wilayah Aichi dan kawasan sekitar Tokyo.
Setakat 6 pagi Rabu, sekurang-kurangnya 15 orang dilaporkan cedera manakala enam bangunan mengalami kerosakan sebahagian akibat ribut berkenaan.
Hujan lebat menyebabkan beberapa sungai melimpah di Jepun barat dan timur termasuk kawasan sekitar Tokyo.
Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran banjir di beberapa kawasan padat penduduk termasuk wilayah Aichi dan ibu negara Tokyo.
Gangguan besar turut melanda sektor pengangkutan udara.
Dua syarikat penerbangan terbesar Jepun, All Nippon Airways dan Japan Airlines, membatalkan gabungan lebih 600 penerbangan pada 3 Jun termasuk puluhan penerbangan antarabangsa.
Laporan lain menyebut hampir 900 penerbangan domestik dan antarabangsa terjejas akibat cuaca buruk itu.
Singapore Airlines (SIA) turut mengubah jadual sekurang-kurangnya 14 penerbangan antara 2 Jun dengan 3 Jun.
Penerbangan melibatkan laluan Singapura ke Osaka, Nagoya dan Tokyo, termasuk penerbangan Singapura-Los Angeles melalui Tokyo, dijadualkan semula.
Dalam kenyataannya, SIA berkata syarikat itu sedang menghubungi semua penumpang terlibat untuk memaklumkan perubahan jadual penerbangan.
“Situasi masih berubah-ubah dan penerbangan lain juga mungkin terjejas,” menurut syarikat penerbangan itu.
SIA turut memaklumkan bahawa pelanggan yang terjejas boleh memilih penerbangan alternatif atau memohon bayaran balik penuh bagi baki tiket yang tidak digunakan.
Gangguan pengangkutan turut melibatkan perkhidmatan kereta api laju Shinkansen di Kyushu dan beberapa kawasan di Jepun barat.
Syarikat East Japan Railway pula berkata beberapa perkhidmatan rel di kawasan Tokyo digantung sementara dan lebih banyak gangguan dijangka berlaku sepanjang hari.
Cuaca buruk turut memaksa beberapa syarikat besar menghentikan operasi.
Toyota Motor mengumumkan penggantungan operasi di 13 kilang domestiknya pada pagi 3 Jun sebagai langkah keselamatan.
Suzuki Motor pula menghentikan operasi di kesemua lima kilangnya di wilayah Shizuoka.
Beberapa sekolah di Tokyo turut ditutup sementara susulan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar dan guru.
Sementara itu, Kedutaan Singapura di Tokyo menasihatkan rakyat Singapura di Jepun supaya memantau perkembangan cuaca dengan teliti dan mengelakkan perjalanan tidak perlu.
“Penerbangan, Shinkansen, feri dan pengangkutan awam lain mungkin dibatalkan atau mengalami kelewatan serius, jadi rancang perjalanan dengan teliti dan kekal berada di dalam bangunan sebanyak mungkin,” menurut kenyataan kedutaan itu di Facebook.
Kedutaan turut mengingatkan rakyat Singapura supaya menyimpan dokumen penting termasuk pasport dalam beg kalis air bagi mengelakkan kerosakan akibat hujan dan banjir.
Rakyat Singapura yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Tokyo menerusi nombor kecemasan yang disediakan. – Agensi berita.
