Sekurang-kurangnya 14 penerbangan Singapore Airlines (SIA) pada 2 dan 3 Jun terpaksa dijadualkan semula akibat Ribut Tropika Jangmi yang melanda Jepun, sekali gus menjejas laluan masuk dan keluar negara itu.

Penerbangan terjejas termasuk dari Singapura ke Osaka, Nagoya, serta lapangan terbang Haneda dan Narita yang berkhidmat untuk Tokyo. Notis nasihat telah dikeluarkan oleh SIA.

Penerbangan yang terjejas pada 2 dan 3 Jun antara Singapura dan Jepun ialah:

1. SQ636, SQ631, SQ632 dan SQ633 antara Singapura dan Tokyo (Haneda);

2. SQ638 dan SQ637 antara Singapura dan Tokyo (Narita);

3. SQ622, SQ623 dan SQ618 antara Singapura dan Osaka; dan

4. SQ672 dan SQ671 antara Singapura dan Nagoya.

Tiga penerbangan SIA yang menghubungkan Lapangan Terbang Narita dengan bandar Los Angeles di California, Amerika Syarikat, juga akan terjejas akibat perubahan jadual tersebut.

SIA akan menghubungi semua pelanggan yang terjejas untuk memaklumkan mereka mengenai perubahan jadual penerbangan.

“Memandangkan keadaan masih berubah-ubah, penerbangan SIA yang lain juga mungkin terjejas,” tambah syarikat penerbangan itu.

Sekurang-kurangnya sembilan orang di Jepun cedera selepas hujan lebat dan angin kencang melanda wilayah Kyushu dan Kepulauan Amami, lapor penyiar nasional NHK pada 2 Jun.

Ribut itu turut menyebabkan kerosakan pada rumah, jalan raya ditenggelami banjir dan pokok tumbang di Okinawa.

Lebih 320 penerbangan termasuk hampir 250 penerbangan yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Jepun – Japan Airlines dan All Nippon Airways – juga telah dibatalkan akibat ribut tersebut.

Jadual perkhidmatan kereta api laju Shinkansen di Jepun juga dijangka terganggu apabila ribut itu semakin kuat, menurut Japan Railways Group.